Thursday, January 20, 2011

Kumpulan Q5 - Tokoh Kualiti Yang Paling Hebat

             Pada pendapat kami, tokoh kualiti yang paling hebat dan paling banyak menyumbang kepada falsafah kualiti ialah William Edwards Deming. Deming telah menyediakan falsafah dan sistem untuk mengaplikasikan teknik – teknik statistikal dalam meningkatkan kualiti dan produktiviti dalam pengurusan di Jepun. Berlainan dengan pakar – pakar lain, Deming turut terlibat secara langsung dalam proses membaiki kualiti dalam organisasi. Sebagai tanda penghargaan, Deming telah dianugerahkan "The Second Order Medal of the Second Treasurer" oleh rakyat Jepun.


            William Edwards Deming bukan sahaja telah membangunkan semula ekonomi Jepun yang hancur akibat Perang Dunia Kedua malahan telah menjadikan Jepun sebagai negara yang mampu bersaing dengan negara – negara lain dalam merebut pasaran antarabangsa di masa depan. Menurut Deming, kualiti ditentukan oleh pelanggan. Pada tahun 1992, Deming mendefinisikan semula kualiti sebagai "sesuatu yang membuatkan setiap orang melaksanakan apa yang mereka telah persetujui dan mereka melaksanakannya dengan tepat pada kali pertama."


            Falsafah kualiti Deming mengandungi tiga asas penting. Asas yang pertama ialah ketekunan dalam mengejar matlamat dan asas kedua pula merupakan asas pembaikan berterusan. Kedua – dua konsep ini menyumbang kepada Prinsip 14 Perkara. Asas ketiga ialah pengetahuan yang mendalam (profound knowledge) yang  merupakan orientasi yang perlu diterapkan oleh pihak pengurusan. Konsep ini memberi penghargaan kepada sistem dan merupakan asas kepada Teori Variasi, Teori Ilmu dan Psikologi. Sehubungan dengan itu, Deming mendefinisikan pengetahuan dengan 4 komponen yang berbeza. Komponen yang pertama ialah penghargaan atau keyakinan terhadap sistem untuk memahami keseluruhan proses termasuk pembekal, pengeluar dan pelanggan. Konsep yang kedua ialah teori variasi. Teori ini menekankan julat dan sebab-sebab variasi dalam kualiti dan penggunaan persampelan secara statistik dalam pengukuran. Berlawanan dengan konsep Zero Defect, Falsafah Kualiti Deming adalah lebih praktikal kerana mengandaikan kesilapan, kerosakan dan variasi sentiasa berlaku.


            Konsep yang ketiga yang diterangkan dalam asas pengetahuan yang mendalam ialah teori ilmu. Konsep ini menyatakan bahawa pengetahuan ialah ramalan yang menghasilkan kejayaan dan ia datang daripada teori yang timbul hasil daripada pengalaman. Pengalaman ini tidak boleh disalin dan hanya boleh diperoleh melalui pembelajaran sendiri. Konsep yang terakhir ialah pengetahuan psikologi iaitu sifat semulajadi manusia dimana manusia lahir dengan kecenderungan untuk bekerja dan menjadi inovatif. Pada hakikatnya, setiap pekerja mempelajari sesuatu mengikut kadar dan keupayaan masing-masing. Cuma, pengurusanlah yang seringkali menghalang keupayaan pekerja.


            Prinsip 14 Perkara Deming dalam proses kualiti merupakan asas kepada Pengurusan Kualiti Menyeluruh iaitu:-


1. Mewujudkan ketekunan dalam mencapai matlamat untuk pembaikan produk dan perkhidmatan. Pembaikan berterusan bagi produk dan perkhidmatan demi keuntungan jangka panjang berbanding dengan keuntungan jangka pendek untuk meningkatkan daya saing perniagaan.

2. Menghayati falsafah yang baru. Untuk menggunakan falsafah yang baru, ia haruslah diterima secara keseluruhan dan bukannya hanya menerima aspek – aspek terpilih yang difikirkan mudah dilaksanakan.

3. Hentikan pergantungan terhadap pemeriksaan secara besar-besaran sebagai salah satu cara untuk membangunkan kualiti sesuatu produk. Anggota kerja diberi bimbingan dalam setiap peringkat kerja untuk memperbaiki proses dan diberi ganjaran apabila mereka dapat mengesan kesilapan dan seterusnya membaiki proses dan kualiti kerja.

4. Hentikan amalan memberikan kontrak perniagaan berdasarkan tanda harga kerana harga yang murah mungkin menandakan kualiti yang rendah. Penggunaan pembekal tunggal bagi satu produk demi pembinaan hubungan yang boleh dipercayai bagi tempoh jangka panjang.

5. Memperbaiki sistem pengeluaran dan perkhidmatan secara berterusan dan sepanjang masa. Ini adalah bertujuan untuk meningkatkan kualiti dan produktiviti serta mengurangkan kos.

6. Menginstitusikan latihan kepada pekerja dengan menetapkan standard dan menunjukkan bagaimana anggota kerja boleh Berjaya dalam tugas mereka.

7. Menginstitusikan kepimpinan dengan memberi latihan kepimpinan kepada para penyelia yang berperanan sebagai jurulatih, mentor dan pemberi semangat. Tujuan adalah supaya penyelia boleh membantu personel untuk menjalankan tugas dengan lebih efisyen.

8.Menghilangkan budaya takut oleh subordinat terhadap majikan mereka. Jika perasaan takut dihilangkan, personel boleh bekerja dengan lebih berkesan dalam syarikat tersebut.

9. Buangkan halangan yang wujud di antara pekerja. Kakitangan daripada bahagian yang berlainan harus bekerjasama sebagai satu kumpulan  untuk menangani masalah dalam pengeluaran atau perkara yang berkaitan dengan produk dan perkhidmatan.

10. Menghapuskan slogan-slogan yang indah khabar dari rupa iaitu kata – kata yang sedap didengar tetapi sukar dicapai. Ia adalah bertujuan untuk menghasilkan barangan yang sifar kecacatan. Namun, slogan yang sedemikian akan mendatangkan kesan yang bertentangan menyebabkan barang yang dihasilkan berkualiti rendah dan mempunyai produktiviti yang rendah.

11. Menghapuskan quota-quota berbentuk numerikal. Menghapuskan piawaian-piawaian kerja yang mempreskripsikan kuota-kuota untuk tenaga kerja dan matlamat-matlamat berangka untuk dalam pengurusan. Pencapaian angka tidak bermakna mencapai tahap kualiti yang tinggi.

12. Menghapuskan penghalang ke arah kecemerlangan kerja. Pengurusan haruslah menyediakan persekitaran yang membolehkan anggota kerja bekerja dengan cemerlang.

13. Menginstitusikan program latihan dan latihan semula. Latihan diberikan kepada pekerja dari semua peringkat dalam syarikat untuk meningkatkan produktiviti dan kualiti produk dan perkhidmatan yang dihasilkan.

14. Bertindak untuk menyempurnakan transformasi. Peningkatan kualiti merupakan objektif syarikat maka ia merupakan tanggungjawab semua kakitangan yang berada dalam organisasi untuk melakukan transfomasi demi mencapai objektif syarikat.


            Sebagai kesimpulan, teori yang diutarakan oleh William Edwards Deming amat berguna untuk diaplikasikan dalam pengurusan berkualiti sesebuah organisasi. Perubahan yang besar dilakukan untuk mencapai objektif organisasi dan organisasi boleh mencapai keuntungan jangka panjang dengan memberikan produk dan perkhidmatan yang berkualiti.



KUMPULAN Q5:
LEE KEAN KEAN
CHAI KAR YI
LEOW CHOW JOO
KHAW WENG CHUNG
KIO YEE PENG

No comments:

Post a Comment