Sunday, January 9, 2011

Kumpulan ElSya - Pengalaman terbaik berurusan di JPN Sabah

Pengalaman terbaik saya berurusan dengan sektor awam ialah semasa saya berkunjung ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) cawangan Ranau, Sabah 2 tahun yang lepas untuk menukar kad pengenalan saya yang lama kepada yang baru. Pejabat pendaftaran tersebut terletak di tingkat 3 bangunan JPN. Ketika sampai sahaja saya telah disapa ramah oleh penyambut tetamu yang menanyakan tujuan saya datang ke JPN lalu menerangkan prosedur yang perlu saya lalui untuk tujuan saya itu. Para pegawai JPN juga bersikap professional dan dedikasi. Banyak kaunter yang dibuka untuk memudahkan pendaftaran memandangkan agak ramai pengunjung pada hari itu. Ini sekaligus telah mempercepatkan prosedur pendaftaran dan saya tidak perlu menunggu giliran yang panjang untuk berurusan. Setiap pertanyaan saya juga telah dijawab dengan sopan dan berinformasi. Saya dimaklumkan bahawa saya boleh merujuk atau memeriksa sekiranya kad pengenalan saya telah siap melalui sistem pesanan ringkas (SMS) atau menghubungi mereka di talian yang diberikan dalam tempoh tiga minggu atau satu bulan yang dimana bagi saya, memudahkan urusan saya untuk mengambil kad pengenalan yang baru di pejabat tersebut. Dalam masa tidak sampai sebulan saya telah mendapatkan kad pengenalan saya yang baru.

Di sini dapatlah saya simpulkan bahawa walaupun kita belum mencapai tahap Negara maju tetapi terdapat transformasi dan perubahan yang dilaksanakan terutamanya dalam sektor awam untuk meningkatkan kualiti dan mutu kerja mereka. Kecekapan dalam menguruskan kerja telah menyumbang kepada peningkatan kualiti dalam sesebuah sektor masing-masing sama ada dalam sektor swasta mahupun awam. Sikap bertanggungjawab telah meningkatkan lagi kualiti kerja dan prestasi sesebuah syarikat awam mahupun swasta. Pendek kata, sikap adalah kunci utama dalam meningkatkan kualiti dan mutu sesebuah sektor.


No comments:

Post a Comment