Saturday, January 15, 2011

Kumpulan Hakuna Matata - Peranan Japanese Union of Scientists & Engineers (JUSE) Dalam Peningkatan Kualiti Di Jepun

Peranan Japanese Union of Scientists & Engineers (JUSE)

Dalam Peningkatan Kualiti Di Jepun


         Japanese Union of Scientists & Engineers (JUSE) ditubuhkan pada Mei 1946. JUSE merupakan asas kepada sebuah badan perundangan oleh Agensi Sains dan Teknologi Kerajaan Jepun. Objektif penubuhan JUSE adalah untuk mempromosikan kajian yang sistematik dalam memajukan ilmu pengetahuan bidang sains dan teknologi agar menyumbang kepada pembangunan budaya dan industri di Jepun.

Antara sumbangan JUSE dalam meningkatkan kualiti di Jepun adalah dengan wujudnya Deming Prize. Deming Prize merupakan salah satu daripada anugerah tertinggi bagi TQM (Total Quality Management) di dunia. Ia telah ditubuhkan pada 1951 sempena ulang tahun peringatan mendiang Dr. William Edwards Deming yang telah banyak menyumbang tentang kawalan mutu berstatistik selepas Perang Dunia Kedua di Jepun. Ajaran-ajaran tersebut telah banyak membantu Jepun dalam membina asasnya sehingga tahap kualiti produk Jepun telah diiktiraf sebagai yang tertinggi di seluruh dunia. Deming Prize bermatlamat untuk mengenalpasti dan memberi penghargaan kepada pertubuhan-pertubuhan yang telah memberi sumbangan dan membuka langkah baru dalam aspek kualiti setiap tahun, atau lebih dikenali sebagai Kawalan Kualiti Keseluruhan (TQC). Terdapat 2 kategori di bawah Deming Prize iaitu individual, Deming Application Prizes , dan Quality Control Award untuk kilang. Bagi Deming Application, penghargaan dibahagikan kepada  pertubuhan-pertubuhan awam atau swasta dan dipecah bahagikan lagi kepada perusahaan-perusahaan kecil, korporat besar, dan syarikat luar negara. Adalah menjadi suatu kebanggaan kepada organisasi yang mendapatkan anugerah tersebut kerana ia merupkan anugerah terprestij di dunia. Oleh itu, semua organisasi akan menjadikan anugerah tersebut sebagai matlamat dan ini menggalakkan mereka untuk membaiki dan meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan organisasi dari semasa ke semasa.

Selain itu, JUSE menyumbang dalam peningkatan kualiti di Jepun melalui penganjuran seminar berkaitan amalan kawalan kualiti untuk melatih organisasi dan pihak-pihak berkaitan tentang amalan Pengurusan Kualititi Menyeluruh (TQM). TQM diperkenalkan di Jepun dan ia merupakan satu falsafah atau sistem untuk peningkatan kualiti secara berterusan bagi produk dan perkhidmatan yang ditawarkan kepada pengguna. JUSE sering menganjurkan seminar, kursus, latihan dan simposium di Jepun berkaitan topik dan isu-isu kualiti seperti TQM dan kaedah kawalan kualiti. TQM yang memberi penekanan kepada peningkatan kualiti secara berterusan dapat membantu organisasi meningkatkan kecekapan operasi dan daya saing dalam konteks global. Seminar dan kursus yang dianjurkan dapat memberi pendedahan kepada pihak pengurusan organisasi tentang amalan-amalan peningkatan kualiti yang efektif dan efisien. Seminar-seminar ini dikendalikan oleh professional yang berpengalaman tinggi dalam amalan TQM dalam organisasi dan mereka dapat berkongsi nasihat dan idea-idea mereka dengan pihak  yang ingin melaksanakan amalan peningkatan kualiti. Seminar ini juga mewujudkan satu jaringan sokongan (support network) untuk membantu organisasi bertukar-tukar pandangan mengenai amalan TQM dalam organisasi mereka. Secara langsung, seminar ini dapat meluaskan amalan TQM ke seluruh negara Jepun dan meningkatkan kualiti semua produk dan perkhidmatan yang ditawarkan kepada pengguna.

Di samping itu, JUSE melalui Quality Function Deployment(QFD) turut membawa manfaat kepada peningkatan kualiti di Jepun. QFD diperkembangkan pada akhir tahun 1960-an oleh Profesor Shigeru Mizuno dan Yoji Akao. Pada masa itu, kawalan kualiti berstatistik (statictical quality control) telah bertapak dalam industri perkilangan di Jepun dan pelbagai aktiviti berkaitan dengan kualiti telah diintegrasi dengan teori akademik terkenal seperti Dr.Juran, Dr. Kaoru Ishikawa dan Dr. Feigenbaum. Ajaran-ajaran ini memberi penekanan terhadap kepentingan kualiti sebagai sebahagian daripada aktivit pengurusan perniagaan yang kemudiannya dikenali sebagai TQC dan TQM. Pada mulanya, Profesor Mizuno dan Akao bertujuan untuk membangunkan suatu kaedah jaminan kualiti yang akan memasukkan ciri-ciri kepuasan pelanggan ke dalam produk sebelum produk tersebut diproses berbanding dengan kaedah jaminan kualiti sebelum ini  yang ditumpukan untuk membaiki masalah semasa dan selepas pemprosesan produk. Dengan itu, aplikasi QFD secara besar-besaran digunakan pada tahun 1966 oleh Kiyotaka Oshiumi daripada Bridgestone Tire di Jepun yang mana mereka menggunakan satu proses jaminan item fishbone diagram untuk mengenal pasti keperluan pelanggan dan mengenal pasti ciri-ciri kualiti dan faktor proses yang diperlukan untuk pengawalan dan pengukuran. Idea QFD kemudiannya digabungkan dengan prinsip Value Engineering yang kemudiannya menjadi suatu system rekabentuk kualiti komprehensif untuk pemprosesan produk dan perniagaan. Jepun seterusnya telah meneruskan pengkajian aplikasi QFD melalui Research Sub-Committee  Union di JUSE dan QFD Symposium yang diadakan setiap tahun sejak 1993. Kini, QFD terus memberi inspirasi minat yang kuat di Jepun dan negara-negara lain dengan menghasilkan aplikasi, amalan dan kajian baru setiap tahun. Oleh itu, QFD merupakan salah satu kajian JUSE yang telah membantu dalam peningkatan kualiti di Jepun.

Kitaran kawalan kualiti juga merupakan satu langkah oleh JUSE dalam pengawalan kualiti di Jepun. Kitaran kawalan kualiti adalah satu kumpulan kecil pekerja melaksanakan kerja yang sama atau kerja yang berkaitan antara satu sama lain di mana mereka akan sentiasa berjumpa untuk mengenalpasti, menganalisis dan menyelesaikan masalah kualiti produk dan masalah operasi perniagaan. Sekumpulan kecil pekerja ini adalah unit yang bebas (biasanya adalah sepuluh orang dalam satu kumpulan) untuk menggunakan teknik dan konsep kawalan kualiti atau alat pembaikan kualiti yang lain, tetapi dengan tujuan dapat meningkatkan kreativiti, motivasi sendiri dan juga meningkatkan produktiviti. Lazimnya sekumpulan kecil pekerja ini adalah diketuai oleh pihak pengurusan atasan seperti penyelia dan senior. Di samping itu, pekerja yang terlibat dalam dalam kitaran kawalan kualiti ini akan diberi latihan tentang kaedah penyelesaian masalah seperti brainstorming, pareto analisis dan gambarajah sebab dan kesan, untuk menyelesaikan masalah organisasi. Setelah mereka menjalankan analisis tersebut, mereka akan melaporkan keputusan tersebut kepada pengurus atasan dan seterusnya melaksanakan cara penyelesaian tersebut. Pada tahun 1962, negara Jepun mula menjalankan aktiviti-aktiviti kitaran kawalan kualiti daripada industri perkilangan hingga ke industri perkhidmatan. Ibu pejabat kitaran kawalan kualiti Jepun adalah terletak berhampiran dengan JUSE dan ia mempunyai 9 buah cawangan di seluruh negara Jepun untuk memperlengkapkan aktiviti kitaran kawalan kualiti. Melalui cawangan-cawangan ini, Konsep Kawalan Kualiti Secara Menyeluruh (Total Quality Control) ini mengalakkan para pekerja untuk bekerja dalam kumpulan dan melaporkan perubahan proses kepada pihak atasan untuk dilaksanakan. Dengan itu, usaha berterusan oleh pekerja secara tidak langsung membantu untuk meningkatkan kualiti di Jepun.

Kesimpulannya, JUSE telah melakukan pelbagai usaha dalam memulihkan ekonomi Jepun sejak zaman selepas peperangan dunia kedua dengan menyampaikan prinsip tanggungjawab pengurusan organisasi yang memberi keutamaan kepada kualiti produk sehinggalah kini. Ini memulihkan ekonomi Jepun dengan kadar yang cepat berbanding negara-negara lain yang turut mengalami kemerosotan ekonomi akibat daripada peperangan dunia kedua. Kini, JUSE terkenal sebagai Pusat Kawalan Kualiti di Jepun yang banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi Jepun dan sekaligus membuktikan kepentingannya peranannya dalam peningkatan kualiti di Jepun.

No comments:

Post a Comment