William Edward Deming merupakan seorang tokoh kualiti yang banyak berjasa kepada pertumbuhan ekonomi Jepun. Beliau telah menyediakan falsafah dan sistem untuk mengaplikasikan teknik-teknik statistikal dalam meningkatkan kualiti dan produktiviti dalam pengurusan di Jepun selepas Perang Dunia Kedua dengan memberi kuliah dan terlibat secara langsung dalam proses membaiki kualiti. Beliau dianugerah "The Second Order Medal of the Second Treasurer" pada tahun 1960 akibat sumbangannya dalam meningkatkan kualiti dan produktiviti dalam pengurusan Jepun dan ini membolehkan Jepun bersaing dengan negara-negara lain di pasaran antarabangsa.
Willian Edwards Deming telah memperkenalkan 3 asas prinsip Pengurusan Kualiti Menyeluruh dalam falsafah beliau, iaitu ketekunan mencapai matlamat, pembaikan berterusan, dan pengetahuan yang mendalam. Teori ilmu merupakan salah satu komponen dalam asas pengetahuan yang mendalam (profound knowledge) yang paling sukar untuk difahami dan digunakan. Pengurusan data yang kritikal dapat diatasi melalui pemahaman teori ilmu. Walau bagaimanapun, komponen teori ilmu ini adalah saling bergantung dengan 3 komponen lain, iaitu penghargaan kepada sesuatu sistem, teori variasi, dan psikologi. Komponen-komponen ini tidak dapat dipisahkan kerana setiap satunya saling menyokong antara satu sama lain.
Dalam teori ilmu, Deming melihat pengetahuan sebagai satu ramalan yang boleh membuahkan kejayaan (Management is Prediction). Kebanyakan organisasi tidak membuat ramalan tentang kesan atau prestasi yang akan dicapai apabila menjalankan sesuatu eksperimen. Mengikut Deming, pembelajaran tidak akan tercapai tanpa ramalan. Kesan terhadap 3 komponen lain dalam pengetahuan yang mendalam akan menjadi lebih jelas apabila organisasi menyedari bahawa pengurusan adalah berdasarkan ramalan.
Di samping itu, Deming juga percaya bahawa pengetahuan ramalan tersebut adalah datang dari teori (Knowledge is built upon theory) dan pengetahuan tidak membawa maksud yang sama dengan maklumat. Tanpa teori pengetahuan yang bersandarkan kepada pengalaman, organisasi tidak dapat belajar dari pengalaman organisasi lain. Kebanyakan orang gagal membentuk satu teori yang membolehkan mereka membuat ramalan. Mereka bertindak tanpa teori atau bertindak tanpa satu idea yang jelas mengenai apa yang hendak dicapai dalam masa yang ditetapkan. Maka, mereka tidak dapat meramal keputusan yang akan dicapai dan menganalisis keputusan dalam eksperimen tersebut. Akibatnya, mereka gagal memperbaiki kitaran PDSA (Plan- Do- Study- Act). PDSA merupakan satu kitaran yang digunakan untuk memperbaiki proses merancang, membuat, pembelajaran, dan bertindak dari semasa ke semasa. Akhirnya, kegagalan merancang berasaskan teori menyebabkan organisasi tidak dapat mengurus sistemnya secara cekap dan berkesan.
Dalam teori ilmu yang diperkenalkan oleh Deming, beliau berpendapat bahawa satu organisasi tidak boleh menyalin kejayaan organisasi lain untuk diamalkan di dalam organisasinya sendiri kerana kejayaan hanya akan dicapai apabila organisasi mempunyai keunikan yang tersendiri dan berbeza daripada organisasi lain. (There is no true value of any characteristic, state, or condition that is defined in terms of measurement or observation." "There is no such thing as a fact concerning an empirical observation.") Maka, setiap organisasi dinasihatkan untuk mereka cipta rencana atau pelan kualitinya yang tersendiri untuk meningkatkan kualiti dan produktiviti organisasi.
" Prinsip 14 Perkara dalam proses kualiti" yang berkaitan dengan teori ilmu yang telah dibincangkan di atas adalah seperti berikut:
Prinsip Perkara 5: Memperbaiki sistem pengeluaran dan perkhidmatan secara berterusan dan sepanjang masa. Kualiti memerlukan kepada komitmen yang tidak pernah kunjung padam demi untuk melakukan pembaikan secara berterusan. Pengurusan dapat mencapai tahap ini dengan cara memberi ganjaran ke atas kreativiti dan initiatif yang ditunjukkan oleh anggota kerja yang mencuba perkara- perkara baru.
Prinsip Perkara 6: Menginstitusikan latihan. Deming menekankan bahawa kebanyakan dari masalah berlaku berikutan dari program orientasi dan latihan kerja. Pihak pengurusan perlu menetapkan standard untuk anggota kerja dan menunjukkan bagaimana anggota kerja boleh berjaya dalam tugas mereka.
Prinsip Perkara 7: Menginstitusikan kepimpinan. Pemimpin perlu membantu pekerja untuk mencapai potensi yang maksima dan memainkan peranan sebagai jurulatih, mentor dan pemberi semangat. Tugas pemimpin bukan hanya menguruskan sumber berbentuk kewangan dan peralatan, tetapi juga untuk membangunkan manusia. Apa yang perlu dibuat oleh seorang pemimpin ialah mencipta satu persekitaran yang membolehkan seluruh anggota kerja dapat memberikan sumbangan terbaik mereka yang seterusnya menghasilkan organisasi yang produktif dan berjaya.
Prinsip Perkara 10: Hapuskan slogan- slogan yang indah kabar dari rupa. Willian Edwards Deming menolak sasaran yang tidak berpijak di bumi nyata dan tidak bermakna. Sasaran sepatutnya berfokuskan kepada pelaksanaan dan bukannya slogan semata-mata.
Prinsip Perkara 11: Hapuskan quota-quota berbentuk numerikal. Mencapai sesuatu target berbentuk numerikal tidak bermakna mencapai tahap kualiti yang tinggi. Sasaran berbentuk numerikal ini hanya mengakibatkan anggota kerja berusaha apa saja untuk mencapai angka yang dikehendaki.
Halangan atau penyakit merbahaya yang perlu dielakkan dalam proses kualiti yang berkaitan dengan teori ilmu ialah "Seeking examples to follow rather than developing solutions". Organisasi seharusnya berusaha untuk mencari penyelesaian bagi masalah yang timbul dan bukannya menyalin kejayaan organisasi lain untuk diamalkan di dalam organisasinya sendiri. Teori akan membentuk soalan dan organisasi akan cuba mencari jawapan atau penyelesaian bagi masalah yang timbul. Ini seterusnya memperkembangkan pengetahuan dan pembaikan dapat dilaksanakan secara berterusan. Contohnya, "the Deming-Shewhart plan-do-check" atau "study-action (PDCA) cycle".
Seperti yang dinyatakan sebelum ini, Willian Edwards Deming berpendapat bahawa teori ilmu haruslah sentiasa dikaitkan dengan 3 komponen lain dalam pengetahuan yang mendalam, iaitu penghargaan kepada sesuatu sistem, teori variasi, dan psikologi. Penghargaan kepada sesuatu sistem bermakna meletakkan keyakinan kepada sesuatu sistem dengan memahami keseluruhan proses operasi organisasi yang melibatkan pembekal, pengeluar, dan pelanggan bagi produk dan perkhidmatan tertentu. Teori variasi pula mengambil kira kebarangkalian berlakunya kesilapan, kerosakan dan variasi yang sentiasa berlaku dan konsep ini adalah berlawanan dengan konsep Zero Defect. Akhirnya, psikologi dalam falsafah Deming percaya bahawa manusia lahir dengankecenderungan untuk belajar dan menjadi inovatif. Cuma pengurusanlah yang kerap kali menghalang keupayaan pekerja. Contohnya, pekerja yang dilatih untuk mengukur sesuatu akan sentiasa berusaha untuk mengatasi standard ukuran yang mereka tetapkan. Pada masa yang sama, organisasi haruslah mengakui hakikat bahawa setiap individu mempelajari sesuatu pada kadar dan cara yang tidak sama.
Secara ringkasnya, Deming melihat teori ilmu dari 3 aspek, iaitu pengetahuan sebagai satu ramalan yang boleh membuahkan kejayaan (Management is Prediction),
pengetahuan ramalan adalah datang dari teori (Knowledge is built upon theory), dan organisasi tidak harus menyalin kejayaan organisasi lain untuk diamalkan di dalam organisasinya sendiri. Organisasi mestilah mereka cipta rencana atau pelan kualitinya yang tersendiri. Teori ilmu juga sering dikaitkan dengan penghargaan kepada sesuatu sistem, teori variasi, dan psikologi kerana mereka adalah saling menyokong antara satu sama lain dalam usaha meningkatkan kualiti dan produktiviti organisasi.
Kumpulan Violet: Tee Pei Pei A117059
Lee Li Ying A117181
Chew Fong Yee A117314
Soo Pei Yin A117327
No comments:
Post a Comment