Saturday, January 8, 2011

Kumpulan Zero Defects - Pengalaman Baik Dengan Perkhidmatan Pelanggan Dell yang Berkualiti

Pengalaman Baik Dengan Perkhidmatan Pelanggan Dell yang Berkualiti

Keluarga saya merupakan pelanggan Dell yang setia. Laptop Dell sentiasa merupakan pilihan utama keluarga kami walaupun terdapat pelbagai jenis jenama lain yang terkenal di pasaran seperti Acer, Toshiba, Apple, Sony dan lain-lain. Ini kerana kami suka akan perkhidmatan pelanggan Dell yang berkualiti.

 

Saya sendiri mempunyai beberapa kali pengalaman dengan perkhidmatan pelanggan Dell yang amat memuaskan pada tahun lepas, iaitu tahun 2010. Pengalaman terbaru berlaku apabila skrin laptop saya tidak berfungsi dengan baik, iaitu sentiasa berkelip-kelip. Pada masa itu, saya berasa amat cemas dan geram kerana skrin yang sentiasa berkelip-kelip dan bertukar warna ini amat mengganggu dalam penyiapan projek dalam UKM. Oleh itu, saya telah membuat panggilan ke pusat perkhidmatan pelanggan Dell pada nombor 1800-88-0038 dalam masa segera pada waktu petang. Tidak seperti hotline perkhidmatan produk lain yang sentiasa mengambil masa penungguan yang lama, panggilan saya telah dijawab oleh juruteknik dalam masa yang singkat. Saya telahpun menjelaskan masalah ini kepada juruteknik setelah ditanya sebilangan soalan teknikal. Masalah skrin ini telah dicatatkan oleh juruteknik yang mesra, bersopan-santun, dan berprofesional. Mereka turut berjanji bahawa seorang juruteknik akan datang ke universiti saya untuk memperbaiki dan menggantikan skrin yang baru kepada saya pada hari keesokan.

 

Pada hari keesokan, saya telah menerima panggilan telefon daripada pusat perkhidmatan pelanggan Dell bahawa juruteknik mereka sedang dalam perjalanan ke universiti saya untuk tujuan pertukaran skrin yang rosak. Dalam masa setengah jam, juruteknik tersebut telahpun sampai dan mulai kerja teknikal untuk pembaikan. Beliau juga tidak lupa untuk menghidupkan laptop saya untuk memeriksa sebarang masalah lain yang timbul. Sepanjang proses pembaikan, juruteknik tersebut juga memberi nasihat dan cadangan kepada saya dari segi penjagaan laptop. Akhirnya, saya telah menandatangani borang penyiapan perkhidmatan setelah beliau memastikan tiada sebarang masalah lain yang timbul. Proses ini cuma mengambil masa satu jam kerana juruteknik Dell yang berpengalaman, berprofesional dan cekap.

 

Perkhidmatan pembaikan skrin ini tidak diselesai begitu sahaja. Ini kerana setengah jam selepas penyelesaian pembaikan skrin, saya sekali lagi menerima panggilan telefon daripada pusat perkhidmatan pelanggan Dell. Juruteknik dalam panggilan telefon cuba mengambil berat tentang perkhidmatan pembaikan kali ini dan menanya kepuasan saya tentang perkhidmatan tersebut. Saya turut dialu-alukan untuk membuat panggilan semula untuk sebarang masalah laptop Dell yang timbul.

 

Dengan itu, masalah skrin saya telah berjaya diselesaikan dalam masa tidak lebih dari sehari oleh pusat perkhidmatan pelanggan Dell yang begitu cekap dan berkesan. Yang paling penting sekali ialah perkhidmatan pembaikan ini adalah percuma, iaitu tidak melibatkan sebarang transaksi tunai kerana laptop saya masih dalam tempoh waranti. Perkara yang amat dikagumi oleh saya ialah perkhidmatan pelanggan Dell yang begitu cekap, di mana kerja pembaikan dapat diselesai pada masa yang singkat, iaitu pada hari keesokan pagi walaupun laporan dibuat pada sebelah petang hari sebelumnya.

 

Memang tidak dapat dinafikan bahawa kebanyakan korporat akan menawarkan perkhidmatan pembaikan asalkan produk tersebut masih dalam tempoh waranti. Tetapi perbezaan perkhidmatan pelanggan Dell dengan perkhidmatan produk lain di pasaran ialah perkhidmatan mereka yang penuh dengan kemesraan, keikhlasan dan kepakaran. Melalui panggilan telefon membuat laporan, saya dapat merasai kemesraan jurucakap dalam mendengar dan memahami masalah saya. Dalam proses pembaikan, juruteknik Dell yang berkepakaran dan berpengalaman amat dikagumi oleh saya. Manakala panggilan selepas pembaikan yang penuh dengan keikhlasan amat dihargai oleh saya. Kesimpulannya, saya suka berurusan dengan Dell kerana perkhidmatan mereka yang penuh dengan kemesraan dan  sentiasa sedia membantu.

No comments:

Post a Comment