Friday, January 7, 2011

Kumpulan Violet - Pengalaman baik di sebuah kedai makan Klang

Pengalaman baik di sebuah kedai makan Klang

Pada bulan Julai tahun 2010, saya dan keluarga saya telah pergi ke sebuah kedai makan di Klang untuk meraikan hari jadi saya. Apabila tiba di kedai makan, maka kami membuat tempahan makanan. Tetapi, setelah kami tunggu lebih kurang 30 minit, kami diberitahu oleh pelayan kedai makan bahawa terdapat masalah di bahagian dapur dan kami perlu tunggu untuk seketika lagi. Pada ketika itu, terdapat beberapa meja pelanggan yang ingin menjamu selera di kedai makan tersebut. Terdapat pelanggan yang marah dan ingin beredar, maka pengurus datang dengan segera untuk menenangkan pelanggan tersebut. Pengurus melayan pelanggan tersebut dengan senyuman yang manis dan meminta maaf dengan seikhlas hatinya serta menerangkan perkara yang dialami yang di luar jangkaan mereka kepada semua pelanggan yang berada di kedai makan itu dan berharap semua pelanggan boleh memahami situasi mereka. Dengan itu, semua pelanggan sanggup terus menunggu sehingga makanan dihidangkan.Walaupun saya dan keluarga saya sanggup terus menunggu tapi dalam hati saya berasa kecewa kerana hari jadi saya akan diraikan dalam keadaan yang sebegitu.

Namun begitu, pihak kedai makan juga menjalankan langkah untuk menghargai kami, sebagai pelanggan yang sanggup terus menunggu iaitu, mereka membenarkan semua pelanggan untuk menggunakan bilik karaoke kedai makan tersebut yang sebelumnya hanya boleh digunakan oleh pelanggan yang menempah empat meja. Oleh itu, empat meja pelanggan boleh menggunakan satu bilik karaoke. Selain daripada itu, mereka juga menghidangkan buah-buahan dan minuman seperti jus buah-buahan yang percuma kepada kami untuk alas perut semasa menunggu makanan disediakan. Tambahan pula, pihak kedai makan selalu memberitahu kami bahawa masa yang perlu tunggu untuk makanan disediakan.

Walaupun semua pelanggan perlu menunggu makanan disediakan, tetapi pelanggan kelihatan sangat gembira kerana terdapat ramai pelanggan yang terhibur dengan perkhidmatan karaoke yang diberikan oleh pihak kedai makan. Terutamanya pelanggan  yang sama bilik dengan kami sangat suka menyanyi dan mereka menyanyi tanpa berhenti. Suasana masa itu sangat menggembirakan walaupun kami hanya berkenalan pada hari itu.

Setelah tunggu selama satu jam setengah, makanan akhirnya dihidangkan untuk dijamu selera. Akhirnya, tiga meja pelanggan lain yang sama bilik dengan kami meraikan hari jadi saya bersama-sama. Saya berasa sangat gembira kerana hari jadi saya diraikan dengan keadaan yang menyeronokkan dan menggembirakan.

Pihak kedai makan juga memberi diskaun sebanyak 30% bagi bil makanan semua pelanggan. Dengan itu, semua pelanggan memuji kedai makan atas cara mereka menyelesaikan masalah yang dihadapi dan balik dengan kepuasan hati terhadap kedai makan tersebut.

Saya juga berasa puas hati dengan perkhidmatan kedai makan kerana mereka memberitahu masalah yang dihadapi dan bukan membiarkan pelanggan menunggu untuk makanannya. Selain itu, mereka melayan pelanggan dengan senyuman manis dan meminta maaf dengan ikhlas atas perkara itu. Tambahan pula, mereka juga cuba untuk menghiburkan pelanggan semasa menunggu dengan membenarkan pelanggan menggunakan bilik karaoke dan mereka memberi diskaun bagi bil makanan. Cara mereka menyelesaikan masalah sangat baik kerana mereka mementingkan kepentingan pelanggan dan cuba untuk memenuhi kepuasan pelanggan.

Kesimpulannya, pihak kedai makan harus melayan pelanggan yang melanggan dengan seikhlas hati yang boleh dan cuba untuk memenuhi kepuasan pelanggan secara berterusan. Hal ini adalah untuk meningkatkan reputasi kedai makan dan seterusnya meningkatkan keuntungan syarikat pada masa depan.


Nama Kumpulan: Violet

Ahli Kumpulan: Tee Pei Pei

                         Lee Li Ying

                         Soo Pei Yin

                         Chew Fong Yee

 

 


No comments:

Post a Comment