Friday, January 21, 2011

Kumpulan Hakuna Matata-Kebaikan dan Keburukan Zero Defect

Kebaikan dan Keburukan Zero Defect

           

Konsep zero defect yang diperkenalkan oleh Philip Crosby merupakan langkan ketujuh dalam Crosby's Fourteen Points yang menerangkan usaha-usaha ke arah pembaikan proses kualiti. Konsep ini merupakan suatu amalan peniagaan yang diaplikasikan dalam proses kerja dengan konsep kecacatan tidak dapat diterima dan setiap orang perlu melakukan sesuatu kerja dengan betul pada kali pertama.

 

Kebaikan Zero Defect:

Antara kebaikan konsep zero defects ialah pengurangan sisa. Sisa-sisa yang dimaksudkan ialah bahan mentah yang terbazir semasa melalui pemprosesan atau masa yang dibazir apabila sesuatu kerja perlu dilakukan semula. Apabila konsep zero defects diamalkan, sisa-sisa ini dapat dikurangkan dan ini akan mengurangkan kos yang dilibatkan dalam mengeluarkan sesuatu produk atau perkhidmatan. Ini kerana, kecacatan dalam sesuatu produk atau perkhidmatan yang ditawarkan mempunyai kos signifikan yang dilibatkan, diantaranya ialah wang, masa, sumber dan reputasi yang merosot. Mengikut kajian yang dijalankan oleh Philip Crosby, organisasi harus membelanjakan 20% daripada hasil jualan untuk menanggung kos kualiti yang lemah seperti kos kecacatan produk. Dengan itu, organisasi dapat megelakkan kos tersebut dengan membangunkan amalan pengurusan kualiti yang baik. 

Tambahan pula, program-program untuk mencegah kecacatan kualiti (quality defects) adalah mahal dan memakan masa. Hal yang demikian, pengeluar atau pembekal produk dan perkhidmatan perlu mempertimbangkan persoalan sama ada hendak menyahkan kecacatan tanpa mengira kos atau pun menerima sahaja peratusan kecil kecacatan. Apabila sisa dan kos yang terlibat dapat dikurangkan, permintaan pengguna dan keuntungan pengeluar juga akan meningkat kerana kepuasan pengguna terhadap produk atau perkhidmatan tersebut akan meningkat.  

Seterusnya pihak pengurusan atasan memainkan peranan penting dalam melancarkan program zero defects. Pihak pengurusan harus menekankan kepentingan pengurusan kualiti secara berterusan kepada para pekerjanya samada melalui forum atau bengkel latihan. Apabila pekerja memahami matlamat yang hendak dicapai iaitu zero defects, maka mereka akan bekerja dengan lebih tekun dan akan melaporkan segala masalah yang dihadapi kepada pihak pengurusan atasan. Dengan cara ini, ini dapat membantu organisasi membangunkan budaya kerja yang harmoni dan mesra dan seterusnya produk organisasi akan lebih bersaing di pasaran.  

 

Keburukan Zero Defect:

            Walaupun zero defect membawa banyak kebaikan kepada organisasi, namun terdapat juga kekurangan dalam konsep ini. Hal ini kerana, walaupun konsep zero defect ini dikatakan boleh diaplikasikan dalam apa jua keadaan untuk meningkatkan kualiti dan mengurangkan kos, namun begitu, kadang-kala ini bukanlah keadaan yang sebenarnya berlaku. Terdapat situasi atau keadaan tertentu yang diperlukan untuk membolehkan peningkatan kualiti dan pengurangan kos ini dicapai. Satu proses, sistem atau kaedah kerja berkenaan dengan produk atau perkhidmatan perlulah ditetapkan terlebih dahulu. Sekiranya penetapan proses, sistem dan kaedah ini tidak dilakukan, maka objektif zero defect tidak dapat dicapai. Tambahan pula, proses yang ditetap atau dikenalpasti perlulah mempunyai konsep yang jelas dan tepat mengenai kemahuan dan keperluan pelanggan. Konsep yang tidak jelas akan menyebabkan perbelanjaan kos (masa dan wang) berlebihan. Contohnya, organisasi mungkin membelanjakan sejumlah kos untuk mengkaji sesuatu produk atau perkhidmatan yang melebihi kemahuan dan keperluan pelanggan, tetapi kos ini sebenarnya boleh dielakkan. Selain itu, segelintir pakar berpendapat bahawa sekiranya kita terlalu memberi penekanan terhadap usaha-usaha untuk mewujudkan satu situasi yang kadar kecacatan sifar, kos masa dan perbelanjaan yang digunakan bagi mencapai ke arah kesempurnaan mungkin akan bertambah, sama ada secara langsung atau secara tidak langsung. Pada masa yang sama, untuk menguji sesuatu produk sama ada ia telah mencapai dan memenuhi kriteria zero defect, pelbagai jenis ujian dan checkpoints perlu dijalankan bagi tujuan tersebut. Memandangkan terdapatnya banyak jenis ujian, kos-kos yang dilaburkan dalam aktiviti tersebut mungkin akan meningkat. Di samping itu, bagi mencapai zero defect atau kesempurnaan bagi sesuatu produk atau perkhidmatan, pembaikan berterusan diperlukan dari semasa ke semasa. Ini merupakan suatu kos bagi organisasi dan dikhuatiri akan membebankan organisasi tersebut. Malah, ia turut mungkin akan mengakibatkan sesebuah organisasi untuk melepas tangan terhadap sesuatu produk atau perkhidmatan disebabkan syarat dan kriteria yang terlalu ketat terhadap konsep zero defect yang diamalkan dalam organisasi. Ini mungkin akan menyebabkan sesebuah organisasi terlepas peluang untuk mengaut untung yang lebih lumayan lagi. Kami ingin memberikan beberapa contoh kritikan daripada pakar kualiti yang menyangkal akan keberkesanan konsep zero defect ini. Guru kualiti, W.Edwards Deming mengatakan yang slogan dan program zero defects biasanya memberikan kesan yang sebaliknya. D.C. Montgomery, pengarang buku Introduction to Statistical Quality Control pula menyatakan bahawa zero defects tidak menggunakan kaedah statistic dan kejuruteraan dengna betul dalam organisasi dan dengan itu tidak dapat membantu untuk mencapai objektif zero defects untuk meningkatkan kualiti dan mengurangkan kos.

            Selain itu, organisasi terlalu menenkankan kepentingan zero defect juga akan menimbulkan ketidakpusan pekerja bawahan dan akhirnya akan mengurangkan produktiviti mereka. Disebabkan mereka berpendapat bahawa setiap proses pengeluaran mesti mempunyai kecacatan produk, maka matlamat zero defect sukar dicapai. Manakala dari segi pembekal produk atau perkhidmatan, iaitu dalam rantaian bekalan. Para pembekal berusaha menjalankan ujian berterusan dan pemerhatian terhadap produk yang akan dibekalkan kepada pelanggan, sekiranya terdapat salah satu pembekal dalam rantaian bekalan gagal untuk mematuhi spesifikasi produk yang telah ditetapkan oleh pelanggan, maka keseluruhan proses pembekalan akan terjejas. Jika pembekal yang gagal tersebut merupakan pembekal yang terpenting kepada sesebuah organisasi, maka ia akan menjejaskan operasi perniagaan dan akhirnya menyebabkan syarikat menggulung tikar. 

 

Kesimpulannya, bagi organisasi yang ingin mengaplikasikan konsep zero defect yang berjaya, mereka perlu menyediakan perancangan yang menyeluruh dan jelas sebelum pelaksanaan konsep zero defect. Kawalan yang berpatutan juga perlu dilibatkan untuk mengelakkan organisasi daripada berlakunya kesan-kesan buruk yang dibincangkan di atas. Selain itu, organisasi harus mendapat bekerjasama dan sokongan daripada pelbagai pihak seperti pekerja organisasi dan para pembekal. Dengan penyediaan yang mencukupi, organisasi dapat menjayakan pelaksanaan konsep zero defect dalam organisasi iaitu mencapai pengurangan kos dengan pengurangan sisa dalam proses pengeluaran produk atau perkhidmatan.       

 

No comments:

Post a Comment