Saturday, January 8, 2011

Kumpulan TQM- Pengalaman Buruk Dalam Perkhidmatan Bas Ekspress


Pengalaman Buruk Dalam Perkhidmatan Bas Ekspress


Pengalaman buruk yang sentiasa kami alami sebagai pelajar universiti adalah pengalaman dalam perkhidmatan bas ekspress yang disediakan oleh syarikat bas ekspress. Bas ekspress merupakan salah satu kemudahan yang sentiasa digunakan oleh pengguna awam sebagai pengangkutan awam. Perkhidmatan bas eskpress meliputi kebanyakan kawasan di Semanjung Malaysia di mana pengguna awam akan menggunakannya untuk sampai ke destinasi yang dikehendaki di negeri lain. Walaupun negara kita mempunyai jaringan lebuh raya dan lapangan terbang antara yang terbaik di dunia, tetapi sistem pengangkutan bas ekspress masih di tahap kurang memuaskan dari segi kualiti perkhidmatannya.

 

Masalah pertama adalah harga tambang bas yang tidak selaras dikenakan oleh syarikat bas ekspress terutamanya apabila hampir dengan atau semasa musim perayaan seperti Hari Raya, Tahun Baru Cina dan Hari Deepavali. Oleh kerana banyak pengguna awam akan menggunakan pekhidmatan bas ekspress untuk balik ke kampung pada hari perayaan, maka mereka mengambil kesempatan ini untuk menaikkan harga tambang bas dan ini telah menambahkan beban kami yang masih merupakan pelajar.

 

 

Ketidaktepatan masa juga merupakan salah satu masalah yang sentiasa kami hadapi ketika menggunakan perkhidmatan bas ekspress. Bas ekspress sentiasa bertolak dari terminal bas tidak tepat pada masa yang ditetapkan dan ini telah membazirkan masa kami. Kesan daripada ini, sesetengah pemandu bas akan memandu dengan laju supaya dapat tiba di destinasi dalam masa yang ditetapkan. Tindakan pemandu bas ini akan menyebabkan kemalangan di jalan raya dan membahayakan keselamatan kami sebagai penumpang bas ekspress. 

 

 

Sikap pemandu bas ekspress turut sangat penting kerana ia akan menentukan keselamatan penumpang sepanjang perjalanan. Banyak kemalangan bas ekspress di jalan raya berlaku kerana sikap tidak berhati-hati pemandu bas ekspress. Kami mendapati terdapat pemandu bas ekspress yang menggunakan telefon bimbit semasa memandu bas. Ini akan menjejaskan tumpuan mereka untuk memandu dan ia mungkin menyebabkan kemalangan berlaku.

 

 

Kerja penyelenggaraan terhadap bas ekspress kurang dijalankan oleh syarikat bas ekspress kerana terdapat pengalaman bahawa bas ekspress telah rosak di separuh jalan dan semua penumpang terpaksa turun di tepi lebuh raya untuk menunggu ketibaan bas ekspress yang lain. Kadang-kala, hawa dingin dalam bas ekspress rosak. Ini menyebabkan kami dan para penumpang lain terpaksa duduk dalam bas yang panas dan hangat sepanjang perjalanan. Terdapat juga pengalaman di mana kusyen di tempat duduk dalam keadaan yang koyak dan kotor. Ia menyebabkan kami berasa agak tidak selesa ketika duduk di atas tempat duduk dalam bas.

 

           

Oleh itu, kami mencadangkan beberapa kaedah untuk menyelesaikan masalah yang dinyatakan di atas. Kami berpendapat bahawa kerajaan harus mengetatkan lagi undang-undang untuk menyelesaikan masalah kenaikan harga tambang bas dengan sesuka hati dan pemandu bas yang bersikap cuai semasa memandu. Contohnya, mengenakan hukuman penjara dan denda terhadap syarikat bas ekspress yang menaikkan harga tiket bas dengan sewenang-wenangnya. Kerajaan juga harus menjalankan pemeriksaan mengejut terhadap syarikat bas ekspress untuk memeriksa operasi syarikat-syarikat bas ekspress. Syarikat bas ekpress juga memainkan peranan penting untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan. Mereka patut menjalankan penyelenggaraan terhadap bas-bas ekpress secara berkala untuk memastikan bas-bas sentiasa dalam keadaan yang baik supaya penumpang berasa lebih selesa dalam perjalanan mereka ke destinasi yang dikehendaki.

 

 

Kesimpulannya, setiap pihak haruslah menjalankan peranan dan tanggungjawab masing-masing untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan bas ekspress.




Nama Ahli Kumpulan TQM dan No. Matrik:

 

Liow Siaw Yien       A116436

Ng Suet Yin            A116812

Koo Fang Di           A117008

Yong Ching Ling      A117071

Teoh Poh Yek         A117275

No comments:

Post a Comment