Friday, January 28, 2011

Kumpulan Hakuna Matata - Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)


Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) 


Sejarah MPC

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) yang dahulunya dikenali sebagai Perbadanan Produktiviti Negara (NPC) Malaysia, telah ditubuhkan pada 1962. Ia merupakan sebuah projek kerjasama antara Tabung Khas Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu dan Kerajaan Persekutuan, di mana International Labour Organisation (ILO) telah bertindak sebagai agensi pelaksana. Pusat Daya Pengeluaran Negara menjadi sebuah Badan berautonomi melalui Akta (Memperbadankan) Majlis Daya Pengeluaran Negara Bilangan 19 pada tahun 1966. Akta ini telah dipinda oleh Akta (Memperbadankan) Majlis Daya Pengeluaran Negara (Pindaan) Akta A305, 1975 sesuai dengan perkembangan Pusat ini. Majlis Daya Pengeluaran Negara telah dinamakan Perbadanan Produktiviti Negara pada 1 Disember 1991 apabila Akta (Memperbadankan) Majlis Daya Pengeluaran Negara (Pindaan) Akta A801 dikuatkuasakan.

            Akta Perbadanan Produktiviti Negara (Pemerbadanan) 1966 sekali lagi dipinda dan disebut sebagai Akta Perbadanan Produktiviti Malaysia (Pemerbadanan) 1966. Nama baru telah diwartakan pada 21 Februari 2008. Pindaan ini adalah bertujuan untuk memperjelaskan status Perbadanan tersebut sebagai suatu badan yang ditubuhkan oleh Kerajaan Malaysia berhubung dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan produktiviti Negara, khususnya kepada masyarakat antarabangsa.

 

Visi MPC

Visi Perbadanan Produktiviti Negara adalah menjadi sebuah organisasi peneraju dalam meningkatkan produktiviti untuk daya saing global dan inovasi. Misinya pula adalah memberi perkhidmatan yang berimpak tinggi dalam usaha mencapai kecemerlangan prestasi melalui inovasi untuk memperbaiki taraf hidup.

 

Ojektif MPC

Terdapat tiga objektif utama yang ingin dicapai oleh MPC.  Pertamanya adalah menyediakan maklumat mengenai produktiviti, kualiti, daya saing dan amalan-amalan terbaik melalui aktiviti penyelidikan dan pembangunan pangkalan data. Objektif seterusnya adalah membangunkan modal insan dan kecemerlangan organisasi bagi membentuk masyarakat berasaskan pengetahuan menerusi latihan, pembangunan sistem dan amalan-amalan terbaik. Objektif ketiga pula adalah memupuk budaya kreatif dan inovatif melalui program-program promosi produktiviti dan kualiti serta jalinan kerjasama.

 

Fungsi MPC

            Perbadanan Produktiviti Negara (MPC) merupakan badan yang ditubuhkan oleh Kerajaan Malaysia berhubung dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan produktiviti Negara, khususnya kepada masyarakat antarabangsa. Dengan merujuk kepada laman web rasmi MPC, didapati MPC memainkan fungsi-fungsi seperti yang berikut:

1.      Menerajui penggalakkan dan penyebaran maklumat dan isu-isu yang berhubungan dengan Produktiviti.

2.      Menubuhkan satu pusat maklumat dan rujukan bagi indeks Produktiviti bagi negara dan bagi sistem-sistem pengurusan dan kajian-kajian kes.

3.      Mengeluarkan pakar dan kepakaran tempatan dalam bidang Produktiviti, Kualiti, Pengurusan dan Keusahawanan.

4.      Mempertingkatkan pembangunan sumber manusia pada peringkat penyeliaan dan peringkat pengurusan kedua-duanya dalam negara.

5.      Menasihati dan menyelaraskan pelaksanaan program-program dan aktiviti-aktiviti yang berhubungan dengan Produktiviti dan Kualiti.

6.      Menilai dan memperakui program-program penyeliaan dan latihan Pengurusan, program-program Keusahawanan dan program-program Produktiviti dan Pengurusan Kualiti yang dijalankan oleh sektor swasta bagi orang awam.

7.      Menjalankan latihan atau program-program lain yang berhubungan dengan Produktiviti, Kualiti, Pengurusan dan Keusahawanan.

8.      Mengadakan perkhidmatan rundingan yang berhubungan dengan Produktiviti, Kualiti, Pengurusan dan Keusahawanan.

9.      Mengumpul, mengeluar dan menerbit maklumat mengenai Produktiviti, Kualiti, Pengurusan dan Keusahawanan dan hal-hal lain yang berhubungan.

10.  Menjalankan usaha-usaha perniagaan bagi maksud menunaikan kerja-kerjanya di bawah Akta Perbadanan Produktiviti Malaysia ini dengan kelulusan Menteri.

11.  Memberikan laporan setiap tahun kepada Menteri mengenai kemajuan dan masalah-masalah meningkatkan Produktiviti dalam perdagangan dan industri dalam negara dan membuat syor-syor mengena cara bagaimana masalah-masalah itu boleh diuruskan.

12.  Membuat semua perkara dan benda yang bersampingan dengan atau berbangkit daripada penunaian kerja-kerjanya di bawah Akta Perbadanan Produktiviti Malaysia.

 

Perkhidmatan dan Aktiviti MPC

Antara perkhidmatan yang disediakan oleh MPC ialah penyelidikan produktiviti dan kualiti. Jenis-jenis projek penyelidikan yang dijalankan adalah seperti Produktiviti dan Kualiti, Teknologi Komunikasi dan Maklumat, dan Penanda Arasan. Satu panel perunding telah ditubuhkan oleh MPC untuk memberi nasihat berkaitan isu-isu dan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh industri-industri dalam usaha untuk meningkatkan daya saing dan produktiviti negara. Panel perunding ini menyediakan panduan dan input teknikal kepada usaha-usaha penyelidikan yang dijalankan oleh MPC, mengendalikan projek penanda arasan, sesi perkongsian ilmu, pembangunan kajian kes dan penerbitan, dan pengurusan data dan maklumat produktiviti. Penyelidikan dan kajian selidik yang dilakukan oleh MPC terbahagi kepada tiga jenis, iaitu Kajian Industri seperti Prestasi Produktiviti Malaysia dan Prestasi Produktiviti Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Kaji Selidik seperti Kajian ICT dan amalan e-sistem di kalangan IKS,  serta kajian-kajian kes tertentu.    

             Selain itu, MPC turut mengendalikan latihan dan pembangunan sistem pengurusan dalam peningkatan produktiviti dan kualiti. Jenis-jenis latihan yang ditawarkan oleh MPC ialah Pembangunan Pengurusan dan Kepimpinan, Sistem Pengurusan Kualiti, Pengurusan Latihan, Kecemerlangan Pelanggan serta Prestasi Kecemerlangan dan Strategi. MPC memberikan khidmat perundingan dalam membangunkan Sistem Pengurusan Berkualiti. Antaranya ialah dengan membangunkan dan melaksanakan Sistem Persekitaran Berkualiti serta pengamalan Innovative and Creative Circle (ICC). MPC telah mengendalikan beberapa siri latihan berkaitan produktiviti dan kualiti kepada beberapa organisasi. Ini bagi membolehkan mereka melaksanakan sistem-sistem dan amalan-amalan yang sesuai dengan usaha syarikat yang hendak melaksanakan Sistem Pengurusan Berkualiti.

            Di samping itu, MPC mengadakan aktiviti berkaitan untuk mempromosikan produktiviti dan inovasi kepada orang ramai. Contoh promosi yang diadakan adalah seperti seminar, bengkel, dan Konvensyen Innovative Creative Circle (ICC). Konvensyen ICC ini membolehkan organisasi baru menceburkan diri dalam aktiviti ICC sambil menimba pengetahuan dari organisasi yang berpengalaman dalam melaksanakan aktiviti ICC. Konvensyen ini biasanya diperhatikan oleh pelbagai individu dari organisasi sektor awam dan swasta yang berminat untuk mendapatkan pendedahan mengenai aktiviti dan pencapaian pelaksanaan projek ICC. MPC juga menjual pelbagai jenis poster yang berkaitan dengan isu produktiviti dan kualiti dengan harga RM3.00 sekeping. Selain itu, MPC menyediakan khidmat penceramah untuk memberikan latihan dalam isu - isu yang berkaitan produktiviti dan kualiti. Kedua-dua poster dan khidmat penceramah boleh didapati dengan mudah melalui laman web MPC.

             Anugerah Kualiti Perdana Menteri merupakan antara aktiviti terbesar yang dianjurkan oleh MPC. Anugerah Kualiti Perdana Menteri ini diperkenalkan pada 9 November 1990 untuk memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada organisasi-organisasi sektor awam, sektor sosio- ekonomi dan sektor swasta yang telah berjaya mencapai tahap pengurusan kualiti yang cemerlang daripada berbagai-bagai jurusan. Pemberian anugerah ini merupakan asas yang penting dalam mewujudkan suasana yang dapat menyemarakkan budaya kerja cemerlang yang berteraskan kualiti. Semenjak tahun 1990, sebanyak 123 pencalonan telah diterima daripada sektor awam, 83 pencalonan daripada sektor sosio-ekonomi dan 102 pencalonan daripada sektor swasta. Oleh itu, Anugerah Kualiti Perdana Menteri dikatakan banyak membantu dalam peningkatan kecekapan dan produktiviti di samping menjimatkan kos operasi organisasi awam dan swasta.

 

Kesimpulan

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) telah mencatatkan kemajuan cemerlang selama 43 tahun penubuhannya; berkembang daripada sebuah institusi latihan kepada satu organisasi bertumpu sepenuhnya kepada produktiviti, inovasi, daya saing dan hubungan antarabangsa. Ini selaras dengan slogan korporat baru MPC iaitu "Transformasi, Inovasi, Perkongsian" yang melambangkan percambahan skop MPC, sejajar dengan aspirasi kerajaan merobah negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi. Pencapaian MPC dalam bidang produktiviti, inovasi dan daya saing dapat dilaksanakan melalui sokongan padu daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ahli-ahli Lembaga, Pengerusi-pengerusi dan Ahli-ahli Panel Perundingan, Wakil-wakil industri dan Persatuanpersatuan. Dedikasi dan komitmen mereka yang berterusan telah menambah nilai kepada aspirasi negara dalam merealisasikan misi "1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

 

 

 

Rujukan:

1.)    http://www.mpc.gov.my

2.)    http://www.pmo.gov.my/ucapan/?m=p&p=ahmadsarji&id=2539

 


No comments:

Post a Comment