PENGALAMAN TERBURUK BERURUSAN DENGAN SALAH SEBUAH SEKTOR AWAM
Pengalaman yang saya ingin ceritakan di sini adalah mengenai salah sebuah syarikat yang terkenal yang sering melakukan hal-hal berkaitan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan(JPJ). Syarikat ini yang dikenali dengan nama (nama syarikat ini dirahsiakan- AZM) memberi banyak kemudahan kepada orang ramai. Salah satunya adalah ia beroperasi sebagai medium kepada orang ramai yang ingin menjalani ujian lesen memandu komputer untuk mendapatlan lesen `L'.
Pengalaman terburuk saya bersama syarikat ini adalah apabila saya terpaksa pergi ke syarikat berkenaan yang beroperasi di sebuah rumah kedai sebanyak tiga kali. Hal ini berlaku ketika saya ingin mengambil ujian berkomputer untuk mengambil lesen memandu. Saya tiba di sana pada pukul 9 pagi dan orang ramai telah memenuhi kedai tersebut dan kami perlu beratur untuk mengambil giliran. Saya memang telah menjangka saya akan menjalani ujian tersebut pada waktu petang. Namun, saya lihat kuantiti orang di dalam bilik itu tidak berkurang dari semasa ke semasa walaupun pada ketika itu sudah pukul 3 petang. Saya mula menjadi resah kerana hampir pukul 5 petang tetapi saya masih tidak dapat mengambil ujian berkenaan. Rupa-rupanya pihak JPJ "offline". Kami semua berasa marah kerana tidak diberitahu akan hal itu dari awal lagi. Ramai yang merungut mereka telah membuang masa dari berjam-jam dari pagi. Namun, pekerja di situ tidak memohon maaf sekali pun dan hanya menyatakan datang semula pada hari lain. Saya tidak suka apabila pekerja itu menggunakan mimik muka tidak bersalah kepada kami.
Hari kedua, saya pergi semula ke kedai tersebut. Kali ini saya pergi lebih awal kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali. Awalnya, keadaan memang baik. Namun selepas beberapa jam, pekerja kedai itu keluar. Kami menunggu dengan penuh sabar kerana saya rasa mungkin pekerja itu ada hal penting. Orang di sebelah saya, seorang wanita yang telah berkahwin merungut kerana katanya dia belum masak untuk keluarga kerana dia telah tiba di situ sebelum kedai itu dibuka tetapi dia tetap mendapat nombor giliran yang lambat. Dia juga mempunya anak kecil yang masih menyusu badan. Pekerja kedai itu kembali 2 jam kemudian dan sekali lagi ujian saya tidak dapat dilaksanakan tanpa sebarang permohonan maaf dari pihak syarikat itu. Saya telah membuang masa diatas sikap sambil lewa pekerja syarikat terbabit. Menurut pandangan saya, pekerja itu juga tidak mempunyai budi bahasa kerana saya melihat dia memarahi salah seorang yang ingin mengambil ujian hanya kerana dia tidak mahir menggunakan komputer dan orang itu kelihatan lebih berusia dari pekerja terbabit.
Saya hanya dapat mengambil ujian berkenaan apabila saya pergi semula pada minggu berikutnya. Sekarang, setelah hampir setahun lebih masa berlalu, saya mendapat berita bahawa kedai itu sudah tidak beroperasi kerana terlibat dengan penipuan seperti menerima rasuah. Pekerja kedai itu menerima duit daripada orang tertentu supaya mereka diberi lulus untuk ujian berkomputer tersebut. Patutlah ramai yang menunggu lama. Rupa-rupanya mereka mendahulukan orang yang menyogok mereka dengan wang. Saya amat berharap perkara ini tidak akan terjadi kepada adik-adik saya kelak.
AhlI kumpulan:
FATIN SYAHIRAH HASAN RIJAL
ELENA ROZELLA JARID
No comments:
Post a Comment