Saturday, January 8, 2011

Kumpulan Hakuna Matata - Pengalaman Baik Semasa Temuduga

Kumpulan Hakuna Matata

Ahli Kumpulan:

1. Tan Soh Teng A116507

2. Tee Ming Ying A116577

3. Tan Suet Voon A116604

4. Chuah Ho Meng A116974

5. Oh Mun Lee A117087


 

 Pengalaman Baik Semasa Temuduga

Kualiti merupakan ciri yang terpenting bagi sesuatu produk atau perkhidmatan. Perkhidmatan yang baik dan berkualiti akan diingati selama-lamanya. Secara umumnya, kualiti ialah sesuatu barangan atau perkhidmatan yang dapat memenuhi atau melampaui kehendak dan jangkaan pelanggan. Peningkatan kualiti amat diperlukan untuk menjadikan sesebuah organisasi lebih maju dan berdaya saing.


Pada peringkat universiti, semua pelajar mempunyai peluang untuk menjalankan temuduga dengan organisasi, sama ada organisasi awam atau organisasi swasta bagi memenuhi kehendak kursus-kursus yang diambil. Antara pengalaman baik temuduga yang pernah kami alami adalah temuduga di Unit ePerolehan, Kementerian Kewangan di Cyberjaya. Pada pandangan awal kami, urusan dengan perkhidmatan sektor awam merupakan sesuatu yang rumit dan memakan masa. Walau bagaimanapun, kehadiran kami untuk temuduga disambut baik oleh kakitangan unit ePerolehan dan ini berada di luar jangkaan kami.


Sebenarnya, kami telah menghubungi kakitangan unit ePerolehan melalui telefon dan e-mel dan meminta pihak berkenaan supaya mengaturkan temuduga kami pada tiga hari kemudiannya. Kami memahami bahawa permintaan ini agak melampau dan berpendapat bahawa permintaan kami ini tidak akan dilayan oleh mereka. Tanpa dijangka, kami telah berjaya mendapat tawaran daripada Encik M untuk mengadakan temuduga dengan pihak unit ePerolehan pada panggilan pertama. Ini amat mengembirakan kami. Malah, Encik M telah melampirkan peta lokasi unit ePerolehan kepada kami melalui e-mel.


Kami mendapat layanan mesra dan baik dari unit ePerolehan sepanjang temuduga dijalankan. Ketibaan kami disambut dengan keghairahan dan kami dijemput ke sebuah bilik VIP yang dilengkapi fasiliti seperti LCD projector, laptop dan mikrofon. Tambahan pula, kami dihidangkan minuman pagi iaitu pisang goreng, karipap dan secawan teh-O.  


Kami telah berjumpa dengan Encik F yang merupakan Pengarah Unit ePerolehan, Kementerian Kewangan. Semasa temubual, kami telah memperkenalkan diri kami dan rupa-rupanya beliau merupakan warga UKM. Kami berasa bangga dan dihargai kerana beliau sanggup meluangkan masa untuk bertemu dengan kami walaupun beliau mempunyai mesyuarat mingguan sebaik sahaja temuduga ini tamat..


Sebelum temuduga bermula, Encik M telah mengedarkan senaskah bahan bacaan mengenai sistem ePerolehan kepada kami. Ini membolehkan kami mendapat gambaran asas tentang sistem ePerolehan sebelum mereka membuat penerangan selanjutnya. Pembentangan mereka dipersembahkan melalui 'slideshow' yang menarik dan menyeluruh. Pembentangan diketuai oleh Puan S dan Encik T yang ramah mesra orangnya. 


Sepanjang pembentangan, Puan S memberi penerangan yang teratur dan terperinci. Pada masa yang sama, mereka juga berkongsi pengalaman dan masalah yang dihadapi dalam penggunaan sistem ePerolehan. Sebelum itu, kami telah menyediakan soal selidik untuk dijawab oleh pihak unit ePerolehan. Mereka telah mengadakan sesi soal jawab untuk menyelesaikan keraguan kami selepas pembentangan tamat. Semua pertanyaan yang diajukan telah dibalas dan diulas dengan teliti dan memuaskan. Di samping itu, mereka mengalu-alukan kami untuk mengemukakan sebarang persoalan melalui e-mel sekiranya kami menghadapi masalah dalam penyediaan laporan kajian selepas temuduga tersebut.


Kesimpulannya, temuduga ini telah mengubah pandangan kami yang kurang memuaskan terhadap perkhidmatan sektor awam. Kami terkejut dengan kualiti perkhidmatan yang diberikan oleh unit ePerolehan. Daripada pembentangan mereka, kami dapat merasakan bahawa mereka telah mencurahkan usaha yang sepenuhnya dalam menyediakan maklumat-maklumat yang diperlukan bagi kajian kami. Kami telah diberi layanan mesra oleh pihak kakitangan ePerolehan walaupun kami merupakan pelajar universiti. Kami mendoakan kejayaan mereka dalam melaksanakan sistem ePerolehan di Malaysia.


Terima kasih. 

 

No comments:

Post a Comment