Kumpulan Nice-Pengalaman Baik Semasa Menginap di Sebuah Hotel 4 Bintang
Pengalaman baik saya di sebuah hotel 4 bintang. Pada dua bulan yang lalu, saya dan keluarga saya melancong ke luar negeri selama 3 hari 2 malam. Kami menginap di Hotel S yang direkomenkan oleh kawan bapa. Sebaik sahaja kami menjejak masuk ke dalam hotel untuk mendaftar masuk, kami dilayan oleh pekerja hotel dengan senyuman yang manis dan salaman yang mesra. Disebabkan cuti sekolah, terdapat ramai pelancong yang juga menginap di hotel tersebut. Maka kami terpaksa menunggu giliran untuk mendaftar masuk ke dalam hotel. Dengan nada yang sopan, pekerja hotel mempelawa kami untuk duduk di kerusi yang disediakan. Semasa menunggu, kami juga dihidangkan dengan jus oren. Apabila tiba giliran kami untuk mendaftar, pekerja yang di kaunter meminta maaf atas kelewatan pendaftaran. Pekerja tersebut menjalan kerja dengan professional dan efektif.
Selepas sahaja kami mendaftar, kami diiringi pekerja hotel untuk ke bilik kami sambil membantu kami membawa bagasi-bagasi kami. Bilik hotel dihias dengan cantik dan dikemas dengan bersih. Setiap barang dalam bilik seperti langsir dan selimut akan ditukar apabila pelanggan daftar keluar. Selepas merehat seketika, kami pun bergilir-gilir untuk mandi. Kami memanggil perkhidmatan bilik(room service) untuk menghantarkan pengering rambut. Tanpa melengah-lengahkan masa, pekerja hotel terus menghantar pengering rambut kepada kami.
Pada keesokan hari, kami bercadang untuk keluar berjalan-jalan. Disebabkan kami tidak kenal jalan untuk ke destinasi, bapa telah mendapatkan bantuan dari kaunter untuk memanggil teksi. Pekerja di kaunter dengan mesranya menolong kami menelefon pemandu teksi yang biasa bekerjasama dengan hotel. Semasa kami menunggu di lobi, saya nampak seorang nenek keluar dari teksi yang juga ingin menginap di hotel tersebut. Dengan serta-mertanya pekerja hotel keluar untuk menolong nenek tersebut mengambil bagasinya dan memimpin beliau masuk ke hotel. Selepas itu, pekerja tersebut meminta nenek untuk duduk di tempat duduk yang disediakan dan dia akan menolong nenek untuk daftar masuk. Apabila nampak kejadian ini, markah yang saya beri kepada hotel ini bertambah lagi. Saya dan keluarga saya berjalan-jalan di sekitar kawasan pelancongan dan tertarik oleh pemandangan yang cantik. Pada waktu malam, kami menjamu selera di restoran hotel. Suasana yang nyaman, makanan yang sedap dan pelayan yang mesra telah memberikan kami pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Kami amat berpuas hati dengan segala-gala terhadap perkhidmatan yang ditawarkan oleh pihak hotel. Selepas makan, kami pun balik ke bilik hotel untuk berehat.
Pada hari terakhir, kami terlewat bangun. Oleh itu, kami tergesa-gesa untuk mendaftar keluar dan bergegas ke lapangan terbang. Sampai sahaja di lapangan terbang, barulah abang saya teringat bahawa telefon bimbit tertinggal di dalam laci bilik hotel. Pada ketika itu, bapa menjawab satu panggilan daripada pihak hotel. Mereka berjanji akan mengeposkan telefon bimbit tersebut kepada kami memandangkan kami kesuntukan masa untuk berpatah balik mengambilnya. Abang berasa amatlah lega dan berterima kasih kepada pekerja hotel yang terjumpa telefon tersebut dan bersikap jujur untuk mengembalikannya. Tiga hari kemudian, abang menerima telefon bimbitnya semula. Dia berasa bersyukur dan menelefon pihak hotel untuk mengucapkan ribuan terima kasih. Kami berasa amat gembira sepanjang penginapan kami di dalam hotel tersebut dan amat berpuas hati atas perkhidmatan yang diberikan oleh pekerja hotel. Kami akan merekomenkan hotel tersebut kepada rakan-rakan kami dan berharap dapat menginap di hotel itu lagi pada masa yang akan datang.
Kumpulan Nice-Pengalaman Buruk Semasa Menjamu Selera di Sebuah Restoran
Pengalaman buruk yang pernah saya dan rakan-rakan saya alami semasa menjamu selera di sebuah restoran terkemuka di Malaysia. Kira-kira 6 bulan yang lalu, saya dan lima orang kawan saya mengunjungi restoran tersebut. Kami masuk ke restoran tersebut dan menunggu pekerja untuk menempatkan kami. Tetapi malangnya, pekerja restoran tersebut berlalu di hadapan kami sahaja tanpa mengendahkan kami. Pada ketika itu, terdapat sebuah keluarga yang baru saja sampai ke restoran tersebut. Pekerja restoran terus mendekati keluarga tersebut dan menanya mereka ada apa yang boleh dia membantu. Kemudian, dia terus membawa sekeluarga tersebut ke tingkat atas restoran untuk menempatkan mereka. Saya dan rakan-rakan juga mengikut bersama kerana tingkat bawah restoran telahpun dipenuhi oleh orang ramai.
Kami mengambil tempat duduk di salah satu meja dimana pelanggan sebelum itu baru saja beredar meninggalkan restoran. Kami terpaksa menunggu selama 20 minit untuk pekerja tersebut datang mengemaskan meja dan mengambil pesanan kami. Dia memberitahu kami dengan wajah yang tidak berpuas hati bahawa restoran tersebut mengalami masalah kekurangan pekerja. Oleh itu, berkemungkinan makanan kami akan sampai lewat sedikit. Tidak sempat lagi untuk kami membuat pertanyaan, pekerja tersebut terus meninggalkan kami.
Selepas itu, kami memerhatikan persekitaran restoran dan mendapati hanya dua orang pekerja yang berada di tingkat atas untuk melayan para pelanggan. Pada ketika itu, terdapat sekumpulan remaja mengunjungi ke restoran tersebut. Setelah kira-kira satu jam kami menunggu, makanan yang dipesan masih belum sampai. Kami bertindak untuk menanya pekerja tersebut bilakah makanan kami akan dihidangkan. Dengan nada yang tinggi, dia memarahi kami kerana tidak mempunyai kesabaran untuk menunggu. Dia juga berkata sekiranya kami tidak sanggup untuk menunggu, kami boleh meninggalkan restoran tersebut. Kemudian, dia berjalan meninggalkan kami dengan tanda soal.
Tidak lama kemudian, makanan yang dipesan oleh kami telah disiapkan. Tetapi malangnya, pekerja restoran bertindak menghidangkan makanan tersebut kepada sekumpulan remaja yang sampai lebih lewat daripada kami terlebih dahulu. Kami hanya berdiam diri sahaja dan berfikir kemungkinan pekerja tersebut tidak berpuas hati dengan kami. Kira-kira 10 minit kemudian, barulah dia menghantar makanan pesanan kami. Makanan yang dihidangkan amatlah tidak memuaskan, sup adalah tidak panas, roti juga teramat keras sehingga sukar untuk dimakan dan ayam yang dihidangkan masih belum masak lagi.
Kami memanggil pekerja tersebut untuk memanggil pengurus restoran untuk menyelesaikan masalah tersebut tetapi dia hanya memberikan alasan bahawa restoran mengalami kekurangan pekerja dan berharap kami dapat bertoleransi dengan keadaan tersebut. Kami berkeras memintanya memanggil pengurus restoran. Dia enggan berbuat demikian sehingga kami mengugutnya bahawa kami akan melaporkan kejadian tersebut kepada pihak media.
Beberapa minit kemudian, pengurus restoran telah datang. Keadaan dia yang berbau rokok dan berpakaian selekeh telah membuat kami berasa tidak berpuas hati. Kami menjelaskan keadaan yang dialami sebelum itu kepada pengurus restoran. Dengan nada yang keras, beliau memarahi pekerja tersebut dan bertindak menamparnya. Kami berasa amat terkejut apabila melihat keadaan tersebut. Pengurus restoran meminta maaf daripada kami dan berjanji akan menggantikan pesanan kami dengan segera. Kami memberitahu beliau bahawa kami tidak mempunyai selera untuk makan lagi dan bertindak untuk meninggalkan restoran. Beliau berjanji bahawa kejadian yang serupa tidak akan berlaku lagi. Selepas kejadian ini, kami tidak lagi mengunjungi restoran tersebut.
No comments:
Post a Comment