Sunday, February 6, 2011

Kumpulan Violet - DASAR PENERAPAN NILAI-NILAI ISLAM DALAM PENTADBIRAN

DASAR PENERAPAN NILAI-NILAI ISLAM DALAM PENTADBIRAN 

Latar Belakang 

Di dalam Perlembagaan Malaysia, Islam ialah agama rasmi Negara dan hak mengendalikan hal ehwal Islam diberikan kepada Raja-raja dan Kerajaan-kerajaan Negeri. Sungguhpun demikian, penganut-penganut agama lain adalah bebas mengamalkan agama masing-masing.

Penglibatan Raja-raja, Kerajaan-kerajaan Negeri dan Persekutuan dalam bidang ini bermula sebelum merdeka lagi. Antara aktiviti dan program penting yang dikelolakan oleh mereka termasuklah sistem sekolah agama, sistem undang - undang mahkamah syariah, pembinaan surau dan masjid, pungutan dan pengurusan zakat fitrah dan Baitulmal. Dalam tahun-tahun awal selepas kemerdekaan, aktiviti dan program ini telah dipergiat dan ditambah pula dengan perkara-perkara baru, antaranya termasuklah tilawah Al-Quran yang telah mengharumkan nama negara di kalangan negara-negara Islam.

Sementara langkah-langkah ini sedang dikelolakan, dunia Islam sejagat telah bangun semula, didorong oleh satu kesedaran baru tentang kemurnian Islam dan peranan yang boleh dan patut dimainkannya dalam hal ehwal negara dan peribadi. Kesedaran baru ini, yang menjadi ketara dalam dekad tujuh puluhan, juga dirasai di Malaysia. Dalam keadaan ini, Kerajaan Persekutuan sendiri telah terdorong untuk meluas dan mengukuhkan programnya mengenai hal ehwal Islam. Sehubungan dengan ini, usaha-usaha baru telah diambil, antaranya termasuklah penubuhan sekolah-sekolah menengah agama berasrama penuh, Universiti Islam Antarabangsa, Bank Islam, Syarikat Insurans Islam dan pengukuhan Bahagian Hal-Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri. Selaras dengan usaha-usaha ini, satu lagi usaha yang dipanggil 'Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam dalam Pentadbiran' telah diperkenalkan pada tahun 1985.

Objektif

Objektif dasar ini adalah seperti berikut:

·         Membentuk sebuah masyarakat Malaysia yang bermaruah, beridentiti kukuh dan disegani oleh masyarakat lain;

·         Menubuhkan sebuah 'negara bahagia';

·         Menghapuskan sikap yang negatif dalam menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan; dan

·         Menghasilkan perkhidmatan yang bermutu.

Berdasarkan kepada objektif-objektif ini adalah jelas bahawa dasar ini bukannya bertujuan mengislamisasikan rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam, tetapi sebenarnya memupuk amalan nilai-nilai murni yang boleh diterima oleh semua pihak dan golongan kerana agama-agama lain juga menitikberatkan amalan nilai-nilai seperti ini.

Nilai-nilai Islam

Hanya sebelas daripada nilai-nilai Islam yang banyak telah dipilih untuk dijadikan asas dasar ini. Nilai-nilai tersebut ialah:

·         Amanah;

·         Tanggungjawab;

·         Ikhlas;

·         Dedikasi;

·         Sederhana;

·         Tekun;

·         Bersih;

·         Berdisiplin;

·         Bekerjasama;

·         Berbudi Mulia; dan

·         Bersyukur.

Sebelas nilai ini dipilih kerana ia merupakan unsur-unsur yang boleh diterima sebagai kunci kepada kejayaan dalam menjalankan urusan-urusan kehidupan terutamanya dalam pentadbiran sesebuah negara. Bagaimanakah nilai-nilai Islam ini boleh dihayati? Berikut alah takrif/pandangan mengenai sikap dan budaya kerja berdasarkan nilai-nilai Islam yang ingin diterapkan ke dalam pentadbiran awam.

Amanah

a)      Menyedari hakikat bahawa tugas adalah amanah yang perlu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya;

b)      Mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan bagi menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan;.

c)      Menghindarkan dengan rela hati kepentingan diri dari mengatasi kepentingan tugas;

d)     Menentukan tiada penyelewengan dalam tugas sama ada dari segi masa, kuasa, sumber wang dan peralatan serta tenaga kerja; dan

e)      Mengutamakan kepentingan awam sebagai teras perkhidmatan.


Tanggungjawab

a)      Menerima hakikat akauntabiliti akhir adalah terhadap Tuhan, di samping pekerjaan dan majikan;

b)      Melakukan tugas dengan kesedaran terhadap implikasi baik dan buruknya iaitu sentiasa waspada dan jujur,

c)      Bersedia berkhidmat dan menghulurkan bantuan bila-bila sahaja diperlukan;

d)     Bercita-cita untuk tidak mengkhianati kepentingan organisasi/instutusi/awam dalam menjalankan tugas; dan

e)      Bersedia menjaga maruah agama, bangsa dan negara.


Ikhlas

a)      Berhati mulia dalam melaksanakan tugas tanpa mengharapkan balasan dari manusia;

b)      Mempunyai niat bertugas kerana Tuhan, kerana mencari rezeki yang halal serta mencari keredhaannya; dan

c)      Mengikis sebarang unsur "kepentingan diri" dalam melaksanakan tugas sebagai asas pengisian amanah.

 

Dedikasi

a)      Kesetiaan yang tinggi kepada tujuan organisasi di bawah peraturan-peraturan yang ada;

b)      Komited kepada sebarang perubahan yang positif dan kepada kebaikan;

c)      Sedia mengubah sikap demi kebaikan bersama dan tugas;

d)     Sedia memulakan pembaikan; dan

e)      Berinisiatif dan proaktif dalam melaksanakan tugas harian.


Sederhana

a)      Menjamin perseimbangan equilibrium dalam diri dan tugas;

b)      Keseimbangan dalam membuat keputusan dengan mengambil kira fakta-fakta yang terdapat dalam alam sekitar;

c)      Rajin mempelajari pengetahuan dan kemahiran yang berkaitan untuk membaiki cara bekerja;

d)     Berusaha gigih untuk menghasilkan kerja yang memuaskan pihak-pihak yang berharap kepadanya;dan

e)      Berusaha gigih bagi memperbaiki hasil kerja sehingga mencapai tahap cemerlang.


Tekun

a)      Berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kesempurnaan dalam tugas dan kehidupan.

b)      Berusaha meninggikan imej perkhidmatan dan organisasi.

c)      Rajin mempelajari pengetahuan dan kemahiran yang berkaitan untuk membaiki cara bekerja.

d)     Berusaha gigih untuk menghasilkan kerja yang memuaskan pihak-pihak yang berharap kepadanya.

e)      Berusaha gigih bagi memperbaiki hasil kerja sehingga mencapai tahap cemerlang.


Bersih

a)      Mengamalkan kebersihan hati dalam menjalankan tugas seharian;

b)      Mengamalkan kebersihan pakaian, bangunan dan alam sekitar sebagai satu cara hidup;

c)      Bersih dalam pemilikan harta dan perjalanan tugas;

d)     Membuat pertimbangan yang teliti dan adil dalam membuat keputusan;

e)      Berkhidmat demi kebajikan semata-mata; dan

f)       Menjauhi hawa nafsu dan emosi dari mempengaruhi pekerjaan dan pemikiran dalam membuat keputusan.


Berdisiplin

a)      Mengetahui priority dan mengutamakan yang lebih utama;

b)      Menilai tinggi masa dan janji;

c)      Mengamalkan cara bekerja yang kemas dan terancang; dan

d)     Mempunyai etika kerja dan profesionalisme yang tinggi.


Bekerjasama

a)      Mengamalkan sikap tolong-menolong dalam melaksanakan kerja;

b)      Sentiasa secara sukarela menyertai aktiviti-aktiviti organisasi sebagai sebahagian daripada usaha mempertingkatkan semangat kerjasama;

c)      Mengutamakan kepentingan organisasi dan pasukan di tempat kerja daripada kepentingan peribadi;

d)     Mengamalkan permuafakatan dalam semua perkara kepentingan bersama; dan

e)      Mengelakkan konflik kepentingan berdasarkan peribadi - mengorbankan kepentingan diri yang bercanggah dengan kepentingan organisasi, agama, bangsa dan negara.


Berbudi Mulia

a)      Bermanis muka sepanjang masa;

b)      Bertimbang rasa dan bertolak-ansur;

c)      Menghormati rakan sejawat dan pelanggan/pelawat; dan

d)     Sentiasa memulakan 'pertanyaan' dengan tujuan untuk menolong pelanggan/pelawat.


Bersyukur

a)      Bersyukur kerana dapat melakukan tugas untuk menjamin kesejahteraan hidup sebagai seorang anggota masyarakat;

b)      Berkecenderungan melihat keadaan dengan lebih positif sehingga menggerakkan untuk lebih berusaha gigih;

c)      Menghayati budaya kerja yang bersopan dan tidak bertentangan dengan kehendak agama (nilai-nilai agama dan kerohanian);

d)     Tidak berbangga dengan kedudukan dan pangkat;

e)      Tidak membazirkan perbelanjaan untuk perkara yang sia-sia;

f)       Berkhidmat sebagai ibadah; dan

g)      Bercita-cita menjadi manusia yang mempunyai sumbangan yang banyak kepada masyarkat, negara dan agama.

Penghayatan terhadap nilai-nilai akhlak yang murni dan membina itu akan memudahkan usaha-usaha untuk memajukan berbagai-bagai bidang yang diperlukan oleh sesebuah Negara seperti kesihatan, pendidikan, ekonomi, pembangunan, undang- undang dan sebagainya.

Penutup

Dasar ini bergantung kepada beberapa faktor untuk kejayaannya. Antaranya termasuklah political will, peruntukan kewangan yang cukup, jentera pelaksanaan yang sesuai dan cekap, dan kesanggupan kumpulan sasaran menerima dasar ini. Sekiranya faktor-taktor ini tidak wujud sekaligus dan saling membantu, sukar baginya untuk berjaya. Tetapi kesukaran ini tidak patut dijadikan alasan untuk mengabaikan pelaksanaan dasar ini, sebaliknya langkah-langkah mesti dicari untuk menjayakannya. Adalah menjadi tanggungjawab setiap pemimpin di semua peringkat untuk mengambil langkah-langkah yang wajar bagi melaksanakannya, dan setiap individu yang menyedari akan kepentingan nilai-nilai ini pula perlu menghayatinya dengan sepenuh hati sejajar dengan tanggungjawab kepada agama, nusa dan bangsa.


Kumpulan Violet: Tee Pei Pei                A117059

 

Lee Li Ying              A117181

 

Chew Fong Yee       A117314

 

Soo Pei Yin              A117327

No comments:

Post a Comment