Sunday, January 30, 2011

Kumpulan ISO - Dasar pandang ke timur


DASAR PANDANG KE TIMUR



Latarbelakang


Dasar Pandang Ke Timur ini telah diumumkan oleh Y.A.B. Perdana Menteri Dato`Seri Dr. Mahathir Mohamad pada 8hb. Februari 1982 semasa Persidangan "5th Joint Annual Conference of MAJECA/JAMECA" di Hilton Kuala Lumpur. Ketika itu Dr Mahathir baru menjadi Perdana Menteri Malaysia (1981). Dasar ini sebagai reaksi kepada dasar 'Buy British Last' yang juga diumumkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada Oktober 1981.


Dasar ini bermakna, pihak Kerajaan akan membuat pengkajian, penelitian dan pemilihan terhadap contoh-contoh dan teladan yang terbaik daripada negara Jepun dan Korea dengan mengubahsuaikannya dengan keadaan-keadaan di Malaysia. Adalah tidak tepat jika Dasar Pandang Ke Timur ditakrif sebagai mengambil apa sahaja dari Jepun dan Korea untuk dipraktik di Malaysia dan mengenepikan teladan yang boleh dipelajari dari negara-negara Barat.
 
Rasional


Seperti yang kita sedia maklum, negara Jepun dan Korea adalah merupakan dua buah negara yang begitu pesat membangun, di beberapa bidang, mereka adalah lebih maju dari beberapa negara Barat sendiri. Kejayaan kedua-dua negara ini boleh dijadikan contoh dan teladan kepada Malaysia dan seterusnya dipraktikkan bagi mencapai matlamat pembangunan negara dengan meninggikan prestasi pengurusan dan pembangunan sektor awam dan swasta.
 
Objektif


Objektif utama Dasar Pandang Ke Timur ini ialah untuk meninggikan prestasi pengurusan dan pembangunan di negara ini serta mewujudkan golongan masyarakat Malaysia yang mempunyai nilai-nilai dan etika kerja yang positif untuk meninggikan kemajuan negara.

Perkara-perkara yang harus ditumpukan melalui dasar ini ialah 'kerajinan dan disiplin bekerja, kesetiaan kepada negara dan perusahaan atau perniagaan di mana pekerja bekerja, keutamaan kepada kumpulan dan tidak diri sendiri, tekanan daya pengeluaran (productivity) dan mutu yang tinggi (quality), peningkatan kecekapan, pengurangan perbezaan dan perpisahan antara eksekutif dan pekerja am sistem pengurusan yang menitikberatkan kejayaan jangka panjang dan tidak semata-mata peningkatan dividen atau pendapatan kakitangan dalam jangka pendek, dan lain-lain lagi yang dipercayai boleh menyumbangkan kepada kemajuan bagi negara kita.

Sebagai sebuah negara yang sedang membangun, nilai-nilai dan etika kerja di atas perlu diamalkan kerana ianya dapat membantu menjayakan usaha-usaha pembangunan yang dijalankan.


Dasar Pandang Ke Timur ini tidak bermakna bahawa Malaysia mengurangkan hubungan dagangannya dengan rakan-rakan yang ada sekarang. Sebaliknya Kerajaan akan terus memperluaskan lagi perdagangannya dengan mengadakan hubungan dengan rakan-rakan bukan tradisional di samping terus mengekalkan dan memajukan hubungan perdagangan yang setia selaras dengan kepentingan negara.


Strategi Pelaksanaan


T.Y.T. Perdana Menteri Jepun, Encik Nakasone, semasa dalam kenyataan akhbar bersama dengan Y.A.B. Dato' Seri Dr. Mahathir semasa Dato' Seri Dr. Mahathir membuat lawatan ke Jepun pada 23hb. hingga 29hb. Januari, 1983 dan kenyataan bersama Y.A.B. Dato' Seri Dr. Mahathir dan T.Y.T. Presiden Republik Korea, Encik Chun Doo Hwan semasa Dato' Seri Dr. Mahathir membuat lawatan ke Korea Selatan dari 8hb. hingga 14hb. Ogos, 1983 telah menaruh harapan yang tinggi bahawa Dasar Pandang Ke Timur ini akan mewujudkan kerjasama yang lebih rapat di antara Malaysia dengan kedua-dua negara itu terutamanya dalam bidang ekonomi, perindustrian, latihan-latihan teknikal dan akademik, program kemajuan eksekutif, penyelidikan dan pengurusan.


Selaras dengan dasar ini, Kerajaan telah menyusun strategi dan program bagi meningkatkan kecekapan, kekesanan dan penghasilan kerja yang lebih baik di kalangan pegawai dan kakitangan. Pegawai-pegawai dan pelajar Malaysia telah dihantar ke Jepun dan Korea untuk mempelajari selok belok teknikal dan aspek pengurusan di kedua-dua negara tersebut. Di antara program yang telah dijalankan adalah seperti berikut:-


a)Perubahan Struktur

i) Kad Perakam Waktu Kerja (Punch Card)

ii) Penggunaan Tanda Nama (Name Tag)

iii) Penubuhan Pasukan Meningkat Mutu Kerja (QCC)

iv) Konsep Pejabat Terbuka

v) Perkhidmatan Kaunter/Perkhidmatan Pembayaran Bil Setempat

vi) Fail Meja dan Manual  Prosedur  Kerja

 

b)Perubahan Sikap

i) Perkhidmatan Cemerlang

ii) Konsep Bersih, Cekap dan Amanah (BCA)

iii)Kepimpinan Melalui Teladan (KMT)

 

c) Latihan dan Kursus

Latihan dan kursus yang dijalankan di bawah Dasar Pandang ke Timur ini adalah seperti berikut:-

 

 i)  Latihan Perindustrian dan Teknikal

Tujuan program ini adalah untuk melatih pekerja di bidang teknikal dalam usaha meninggikan kecekapan dan menerap nilai kerja yang positif dari Jepun dan Korea dalam meninggikan penghasilan kerja.


 ii)  Program Pengajian Akademik

Tujuan program ini adalah untuk memberi peluang kepada pelajar-pelajar Malaysia untuk menuntut ilmu sains dan teknikal di Jepun dan Republik Korea.


 iii) Program Pengajian Teknikal

Program ini adalah menyediakan peluang latihan teknikal lanjutan pada pelajar-pelajar lepasan SPVM dan Politeknik.


 iv)  Program Kemajuan Eksekutif

Objektif program ini adalah untuk menyediakan latihan kepada eksekutif-eksekutif dalam mempelajari kaedah pengurusan dan pentadbiran kerajaan dan swasta di Jepun dan Korea. Mereka akan ditempatkan di beberapa firma dan agensi Kerajaan di Jepun dan Korea. Penekanan-penekanan yang di berikan dalam program ini ialah latihan-latihan dalam bidang pengurusan Sogoshosha, Perjawatan, Q.C.C dan pengurusan am.


 v)   Hubungan di antara Institusi-institusi

Program ini bertujuan untuk menyalurkan permohonan latihan yang diperlukan oleh Malaysia kepada institusi pengajian tinggi di Jepun dan Korea.


 vi)  Skim Latihan Pembangunan Usahawan

Program yang dikendalikan oleh Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri memberi peluang dan pendedahan, usahawan-usahawan bumiputra terhadap idea baru dan teknologi luar pengetahuan-pengetahuan ini untuk memajukan urusniaga mereka. Program ini juga memberi peluang kepada mereka untuk mewujudkan peluang 'business contacts' dengan rakan-rakan perniagaan di sana.


PM ajak usahawan Jepun kukuh usaha sama menerusi MEB


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata dasar yang sudah 28 tahun diperkenalkan itu masih kekal sebagai teras utama hubungan dua hala tetapi sudah sampai masanya untuk dinilai dan diberi nafas baru.

MALAYSIA mahu memberikan nafas baru kepada Dasar Pandang ke Timur dengan menerokai kerjasama baru dengan Jepun, sekali gus mengajak masyarakat perniagaan negara itu mengukuhkan usaha sama ke arah mencapai ekonomi berpendapatan tinggi yang menjadi sasaran negara menerusi Model Ekonomi Baru (MEB).

 

Katanya, setakat ini lebih 15,000 rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada Dasar Pandang Ke Timur, dengan kebanyakannya menjawat kedudukan tinggi dan pertengahan dalam sektor awam serta swasta.


Kita berkongsi keyakinan sudah sampai masanya untuk melakukan penilaian semula kepada dasar ini. Kita perlu memperkenalkan bidang baru dan inovatif. Kelebihan teknologi Jepun dalam bidang teknologi hijau dan alam sekitar perlu dimanfaatkan dalam inisiatif ini bagi merangka bidang kerjasama baru.


Pada 20 April 2010, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Mohd Najib bin Abdul Razak bercadang mempertimbangkan semula dasar itu dan memperkenalkan bidang yang baru serta berinovasi. Antara bidang yang sesuai ialah teknologi tercanggih, teknologi hijau, teknologi lestari dan bioteknologiPerdana Menteri Jepun Yukio Hatoyama menekankan kepada kejayaan Universiti Malaysia Jepun.

 

Sebagai kesimpulannya, Dasar Pandang Ke Timur merupakan satu usaha baik dan positif dari pihak Kerajaan Malaysia untuk meningkatkan lagi prestasi pengurusan dan pembangunan di negara ini. Melalui kajian yang telah dibuat oleh pihak INTAN, Dasar ini telah memberi kesan yang besar terhadap usaha-usaha di atas dan seterusnya Dasar ini dapat membantu usaha Kerajaan untuk meninggikan prestasi dan daya pengeluaran negara ini. Di samping itu ianya boleh menjadi asas pengwujudan sebuah masyarakat yang dinamik dan progresif.


Nama Ahli Kumpulan: ISO


Lim ket onn               A126851

Khoo Pei Lu              A122180
Tan Ying Jie              A122648
Kuan Shee Vern        A126709

 


Friday, January 28, 2011

Kumpulan Hakuna Matata - Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)


Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) 


Sejarah MPC

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) yang dahulunya dikenali sebagai Perbadanan Produktiviti Negara (NPC) Malaysia, telah ditubuhkan pada 1962. Ia merupakan sebuah projek kerjasama antara Tabung Khas Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu dan Kerajaan Persekutuan, di mana International Labour Organisation (ILO) telah bertindak sebagai agensi pelaksana. Pusat Daya Pengeluaran Negara menjadi sebuah Badan berautonomi melalui Akta (Memperbadankan) Majlis Daya Pengeluaran Negara Bilangan 19 pada tahun 1966. Akta ini telah dipinda oleh Akta (Memperbadankan) Majlis Daya Pengeluaran Negara (Pindaan) Akta A305, 1975 sesuai dengan perkembangan Pusat ini. Majlis Daya Pengeluaran Negara telah dinamakan Perbadanan Produktiviti Negara pada 1 Disember 1991 apabila Akta (Memperbadankan) Majlis Daya Pengeluaran Negara (Pindaan) Akta A801 dikuatkuasakan.

            Akta Perbadanan Produktiviti Negara (Pemerbadanan) 1966 sekali lagi dipinda dan disebut sebagai Akta Perbadanan Produktiviti Malaysia (Pemerbadanan) 1966. Nama baru telah diwartakan pada 21 Februari 2008. Pindaan ini adalah bertujuan untuk memperjelaskan status Perbadanan tersebut sebagai suatu badan yang ditubuhkan oleh Kerajaan Malaysia berhubung dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan produktiviti Negara, khususnya kepada masyarakat antarabangsa.

 

Visi MPC

Visi Perbadanan Produktiviti Negara adalah menjadi sebuah organisasi peneraju dalam meningkatkan produktiviti untuk daya saing global dan inovasi. Misinya pula adalah memberi perkhidmatan yang berimpak tinggi dalam usaha mencapai kecemerlangan prestasi melalui inovasi untuk memperbaiki taraf hidup.

 

Ojektif MPC

Terdapat tiga objektif utama yang ingin dicapai oleh MPC.  Pertamanya adalah menyediakan maklumat mengenai produktiviti, kualiti, daya saing dan amalan-amalan terbaik melalui aktiviti penyelidikan dan pembangunan pangkalan data. Objektif seterusnya adalah membangunkan modal insan dan kecemerlangan organisasi bagi membentuk masyarakat berasaskan pengetahuan menerusi latihan, pembangunan sistem dan amalan-amalan terbaik. Objektif ketiga pula adalah memupuk budaya kreatif dan inovatif melalui program-program promosi produktiviti dan kualiti serta jalinan kerjasama.

 

Fungsi MPC

            Perbadanan Produktiviti Negara (MPC) merupakan badan yang ditubuhkan oleh Kerajaan Malaysia berhubung dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan produktiviti Negara, khususnya kepada masyarakat antarabangsa. Dengan merujuk kepada laman web rasmi MPC, didapati MPC memainkan fungsi-fungsi seperti yang berikut:

1.      Menerajui penggalakkan dan penyebaran maklumat dan isu-isu yang berhubungan dengan Produktiviti.

2.      Menubuhkan satu pusat maklumat dan rujukan bagi indeks Produktiviti bagi negara dan bagi sistem-sistem pengurusan dan kajian-kajian kes.

3.      Mengeluarkan pakar dan kepakaran tempatan dalam bidang Produktiviti, Kualiti, Pengurusan dan Keusahawanan.

4.      Mempertingkatkan pembangunan sumber manusia pada peringkat penyeliaan dan peringkat pengurusan kedua-duanya dalam negara.

5.      Menasihati dan menyelaraskan pelaksanaan program-program dan aktiviti-aktiviti yang berhubungan dengan Produktiviti dan Kualiti.

6.      Menilai dan memperakui program-program penyeliaan dan latihan Pengurusan, program-program Keusahawanan dan program-program Produktiviti dan Pengurusan Kualiti yang dijalankan oleh sektor swasta bagi orang awam.

7.      Menjalankan latihan atau program-program lain yang berhubungan dengan Produktiviti, Kualiti, Pengurusan dan Keusahawanan.

8.      Mengadakan perkhidmatan rundingan yang berhubungan dengan Produktiviti, Kualiti, Pengurusan dan Keusahawanan.

9.      Mengumpul, mengeluar dan menerbit maklumat mengenai Produktiviti, Kualiti, Pengurusan dan Keusahawanan dan hal-hal lain yang berhubungan.

10.  Menjalankan usaha-usaha perniagaan bagi maksud menunaikan kerja-kerjanya di bawah Akta Perbadanan Produktiviti Malaysia ini dengan kelulusan Menteri.

11.  Memberikan laporan setiap tahun kepada Menteri mengenai kemajuan dan masalah-masalah meningkatkan Produktiviti dalam perdagangan dan industri dalam negara dan membuat syor-syor mengena cara bagaimana masalah-masalah itu boleh diuruskan.

12.  Membuat semua perkara dan benda yang bersampingan dengan atau berbangkit daripada penunaian kerja-kerjanya di bawah Akta Perbadanan Produktiviti Malaysia.

 

Perkhidmatan dan Aktiviti MPC

Antara perkhidmatan yang disediakan oleh MPC ialah penyelidikan produktiviti dan kualiti. Jenis-jenis projek penyelidikan yang dijalankan adalah seperti Produktiviti dan Kualiti, Teknologi Komunikasi dan Maklumat, dan Penanda Arasan. Satu panel perunding telah ditubuhkan oleh MPC untuk memberi nasihat berkaitan isu-isu dan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh industri-industri dalam usaha untuk meningkatkan daya saing dan produktiviti negara. Panel perunding ini menyediakan panduan dan input teknikal kepada usaha-usaha penyelidikan yang dijalankan oleh MPC, mengendalikan projek penanda arasan, sesi perkongsian ilmu, pembangunan kajian kes dan penerbitan, dan pengurusan data dan maklumat produktiviti. Penyelidikan dan kajian selidik yang dilakukan oleh MPC terbahagi kepada tiga jenis, iaitu Kajian Industri seperti Prestasi Produktiviti Malaysia dan Prestasi Produktiviti Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Kaji Selidik seperti Kajian ICT dan amalan e-sistem di kalangan IKS,  serta kajian-kajian kes tertentu.    

             Selain itu, MPC turut mengendalikan latihan dan pembangunan sistem pengurusan dalam peningkatan produktiviti dan kualiti. Jenis-jenis latihan yang ditawarkan oleh MPC ialah Pembangunan Pengurusan dan Kepimpinan, Sistem Pengurusan Kualiti, Pengurusan Latihan, Kecemerlangan Pelanggan serta Prestasi Kecemerlangan dan Strategi. MPC memberikan khidmat perundingan dalam membangunkan Sistem Pengurusan Berkualiti. Antaranya ialah dengan membangunkan dan melaksanakan Sistem Persekitaran Berkualiti serta pengamalan Innovative and Creative Circle (ICC). MPC telah mengendalikan beberapa siri latihan berkaitan produktiviti dan kualiti kepada beberapa organisasi. Ini bagi membolehkan mereka melaksanakan sistem-sistem dan amalan-amalan yang sesuai dengan usaha syarikat yang hendak melaksanakan Sistem Pengurusan Berkualiti.

            Di samping itu, MPC mengadakan aktiviti berkaitan untuk mempromosikan produktiviti dan inovasi kepada orang ramai. Contoh promosi yang diadakan adalah seperti seminar, bengkel, dan Konvensyen Innovative Creative Circle (ICC). Konvensyen ICC ini membolehkan organisasi baru menceburkan diri dalam aktiviti ICC sambil menimba pengetahuan dari organisasi yang berpengalaman dalam melaksanakan aktiviti ICC. Konvensyen ini biasanya diperhatikan oleh pelbagai individu dari organisasi sektor awam dan swasta yang berminat untuk mendapatkan pendedahan mengenai aktiviti dan pencapaian pelaksanaan projek ICC. MPC juga menjual pelbagai jenis poster yang berkaitan dengan isu produktiviti dan kualiti dengan harga RM3.00 sekeping. Selain itu, MPC menyediakan khidmat penceramah untuk memberikan latihan dalam isu - isu yang berkaitan produktiviti dan kualiti. Kedua-dua poster dan khidmat penceramah boleh didapati dengan mudah melalui laman web MPC.

             Anugerah Kualiti Perdana Menteri merupakan antara aktiviti terbesar yang dianjurkan oleh MPC. Anugerah Kualiti Perdana Menteri ini diperkenalkan pada 9 November 1990 untuk memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada organisasi-organisasi sektor awam, sektor sosio- ekonomi dan sektor swasta yang telah berjaya mencapai tahap pengurusan kualiti yang cemerlang daripada berbagai-bagai jurusan. Pemberian anugerah ini merupakan asas yang penting dalam mewujudkan suasana yang dapat menyemarakkan budaya kerja cemerlang yang berteraskan kualiti. Semenjak tahun 1990, sebanyak 123 pencalonan telah diterima daripada sektor awam, 83 pencalonan daripada sektor sosio-ekonomi dan 102 pencalonan daripada sektor swasta. Oleh itu, Anugerah Kualiti Perdana Menteri dikatakan banyak membantu dalam peningkatan kecekapan dan produktiviti di samping menjimatkan kos operasi organisasi awam dan swasta.

 

Kesimpulan

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) telah mencatatkan kemajuan cemerlang selama 43 tahun penubuhannya; berkembang daripada sebuah institusi latihan kepada satu organisasi bertumpu sepenuhnya kepada produktiviti, inovasi, daya saing dan hubungan antarabangsa. Ini selaras dengan slogan korporat baru MPC iaitu "Transformasi, Inovasi, Perkongsian" yang melambangkan percambahan skop MPC, sejajar dengan aspirasi kerajaan merobah negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi. Pencapaian MPC dalam bidang produktiviti, inovasi dan daya saing dapat dilaksanakan melalui sokongan padu daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ahli-ahli Lembaga, Pengerusi-pengerusi dan Ahli-ahli Panel Perundingan, Wakil-wakil industri dan Persatuanpersatuan. Dedikasi dan komitmen mereka yang berterusan telah menambah nilai kepada aspirasi negara dalam merealisasikan misi "1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

 

 

 

Rujukan:

1.)    http://www.mpc.gov.my

2.)    http://www.pmo.gov.my/ucapan/?m=p&p=ahmadsarji&id=2539